Patrick Teoh mengaku tak bersalah di mahkamah
Selebriti dan juruhebah radio, Patrick Teoh, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komen jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor, Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, Teoh atau nama sebenarnya Teoh Kang Yong, 73, didakwa secara sedar membuat hantaran itu di laman Facebok ‘Patrick Teoh’.
Menurut laporan BH Online, Teoh - atau nama sebenarnya Teoh Kang Yong - mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Kamarudin Kamsun.
Teoh didakwa mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 233(3) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, pembaca berita dan pelakon pentas itu boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syafiq Ghazali manakala Wong Hong Yi dan M Puravalen bertindak sebagai peguam bela Teoh.
Hakim menetapkan 20 Julai sebagai tarikh serahan dokuman, dan menetapkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Mei lalu, Teoh ditahan di Petaling Jaya untuk memberikan keterangan, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan direman lima hari mulai 10 Mei lalu sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

