Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno gesa Saifuddin jawab isu pelantikan Eric Paulsen
Diterbitkan:  Jun 15, 2020 4:12 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Selepas PAS, kini Pemuda Umno pula menyuarakan desakan agar pelantikan peguam hak asasi Eric Paulsen sebagai ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) dibatalkan.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan asas dan rasional pelantikan itu dan meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah tampil memberi penjelasan.

Beliau mendakwa Paulsen pernah mengguris hati orang Islam dengan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Islam, antaranya mendakwa khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan ekstremisme pada 2015.

"Jika kepakaran dalam perundangan dan hak asasi manusia menjadi sandaran, Pemuda Umno beranggapan ramai lagi tokoh peguam atau aktivis yang sederhana dan lebih memahami batasan kebebasan bersuara yang menyantuni acuan masyarakat timur bertunjangkan prinsip agama dan budaya boleh menjadi pilihan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Paulsen yang juga wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) antara 15 ahli MPKM.

Eric Paulsen

Asyraf Wajdi berkata lagi, pihaknya berharap Saifuddin tidak mengulangi apa yang disifatkannya sebagai keterlanjuran ketika pentadbiran PH yang "kuat mempelopori dan mempromosi agenda meratifikasi Icerd, Statut Rom dan pelbagai konvenyen hak asasi manusia Antarabangsa" yang baginya akan menggugat kestabilan negara pelbagai agama dan kaum.

Terdahulu, Timbalan ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Penerangan Pusat PAS, Kamaruzaman Mohamad turut menggesa pelantikan Paulsen dibatalkan.

Jangan ulang kesilapan lalu

Paulsen ketika dihubungi semalam enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

No comment. Lebih baik begitu (untuk tidak memberikan komen),” katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Saifuddin berkaitan gesaan itu.

Turut senada denan Asyraf Wajdi ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen.

Katanya pelantikan Paulsen wajar dibatalkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Perlantikan Paulsen sebagai anggota Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia wajar ditarik semula memandangkan beliau seorang peguam yang ekstrem dan sering mengeluarkan kenyataan menghina Islam," katanya.

Turut membuat desakan ialah Pemuda Bersatu (Armada) melalui salah seorang exconya Muzzammil Ismail yang memberikan alasan bahawa Paulsen menghasut dan menghina umat Islam.

"Mana mungkin sebuah kerajaan yang bagus seperti sekarang menerima eksekutif yang berfikiran liberalisme, humanisme, hedonisme dan menyokong LGBT.

"Kita tidak boleh ulangi kesilapan yang lalu yang akhirnya membuatkan keyakinan rakyat kepada pimpinan menjadi defisit.

"Jangan esok kerajaan PN dipanggil cakap tidak serupa bikin hanya kerana pelantikan ini," katanya.

Menurut Muzammil ada ramai lagi calon lain yang layak untuk mengurus tadbir agensi kerajaan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia terutama dalam kalangan profesional prokerajaan.

"Kami menyeru menteri membuat pertimbangan semula tentang perkara ini," katanya.

Lihat Komen
ADS