Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PMO nafi laporan Muhyiddin ke luar negara ketika kuarantin
Diterbitkan:  Jun 16, 2020 12:23 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini menafikan laporan Sarawak Report yang mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melanggar perintah kuarantin di rumah dengan ke luar negara untuk mendapatkan rawatan kanser.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, PMO menyifatkan laporan Sarawak Report itu adalah satu pembohongan dan tuduhan berniat jahat.

Menurut kenyataan media yang turut dikepilkan bersama pengesahan kesihatan perdana menteri itu, menegaskan yang presiden Bersatu itu telah disahkan sihat dan bebas daripada penyakit kanser.

"Semasa menjalani tempoh kuarantin, perdana menteri sentiasa mematuhi arahan tidak keluar rumah.

"Semua tugasan rasmi hanya dijalankan dari rumah termasuk mengadakan sidang video dengan Menteri Kanan Pertahanan dan Ketua Pengarah Kesihatan.

"Justeru dakwaan Sarawak Report bahawa perdana menteri melanggar perintah kuarantin dengan keluar rumah, apatah lagi terbang ke luar negara adalah sama sekali tidak berasas dan hanya rekaan penulis," katanya kenyataan itu.

Pada 22 Mei lalu, perdana menteri menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari susulan kehadirannya dalam mesyuarat pascakabinet di PMO di Putrajaya turut dihadiri seorang pegawai yang positif Covid-19.

Beliau melalui proses kuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

PMO berkata meskipun ujian saringan mengesahkan Muhyiddin negatif, namun menurut perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), beliau perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Semua ahli mesyuarat tersebut juga telah diarahkan agar menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini,” menurut kenyataan PMO.

Dalam kenyataannya juga PMO meminta Sarawak Report mengemukakan bukti termasuk menamakan pesawat yang dinaiki, hospital di Singapura dan doktor seperti yang didakwa.

Kegagalan berbuat demikian kata PMO, bermakna laporan yang disiarkan portal itu adalah berniat jahat untuk memburuk-burukkan imej perdana menteri.

"Amat malang apabila portal berita itu kini berubah menjadi perkakas politik bagi menjaja dan menyebarkan fitnah melalui laporan yang tidak berpaksikan kebenaran.

"Fitnah ini merupakan satu gangguan yang tidak perlu ketika negara sedang berhadapan pandemik kesihatan dan cabaran ekonomi yang belum pernah dialami sebelumnya," kata kenyataan itu.

Malaysiakini juga sedang menghubungi Sarawak Report untuk mendapat ulasan mereka mengenai isu berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai tahap kesihatan perdana menteri, kenyataan itu berkata, bahawa perdana menteri cukup sihat untuk melaksanakan tugasnya.

"Beberapa pakar perubatan telah pun mengesahkan bahawa beliau kini bebas daripada penyakit kanser dan cukup sihat untuk melaksanakan tugas sebagai perdana menteri," jelasnya.

Lihat Komen
ADS