Covid-19: 11 kes baru, 333 pulih, tiada kematian
Malaysia hari ini mencatatkan jumlah kes pulih dan dibenarkan discaj tertinggi sejak Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) diperkenalkan Mac lalu. Sebanyak 333 kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 7,733.
Ini kali pertama kadar pemulihan melebihi 90 peratus atau pada 90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baru yang dicatatkan sepanjang 24 jam lalu adalah hanya sebanyak 11 kes. Ini menjadikan kes positif Covid-19 di negara kini adalah sebanyak 8,505 kes.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 651 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau juga berkata, daripada 11 kes baru yang dilaporkan, satu kes adalah kes import warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara.
“Daripada 10 kes penularan di dalam negara, enam kes adalah bukan warganegara manakala empat kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, bagi enam kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara itu perinciannya adalah seperti berikut:
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur - dua kes:
- Satu kes saringan untuk masuk kerja;
- Satu kes Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2;
Negeri Sembilan - empat kes:
- Tiga kes Kluster Pedas;
- Satu kes Kluster Syarikat Pembersihan.
Bagi penularan Covid-19 dalam negara di kalangan warganegara, perincian kes penularan pula adalah seperti berikut:
Selangor - satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Putrajaya dan kemudian dipindah ke Hospital Sungai Buloh, Selangor;
Sarawak - tiga kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (ke-8453). Mereka adalah ahli keluarga kepada kes ke-8453.
Dr Noor Hisham turut mengumumkan tidak ada kes kematian yang dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kekal pada 121 orang atau 1.42 peratus daripada jumlah kes.
Katanya, sehingga kini, sebanyak empat (4) kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.


