Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah benarkan prosiding hina mahkamah terhadap Malaysiakini

Mahkamah Persekutuan membenarkan prosiding hina mahkamah terhadap portal berita Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan berhubung komen pembaca mengenai badan kehakiman.

Panel tiga anggota yang diketuai oleh Hakim Rohana Yusof memutuskan hari ini bahawa pemohon - Peguam Negara Idrus Harun - telah berjaya mewujudkan prima facie untuk permohonan itu.

Pengurusan kes ditetapkan pada 25 Jun dan prosiding akan bermula pada 2 Julai.

Idrus diwakili oleh timbalan pendakwa raya Alice Loke pagi ini sementara Malaysiakini diwakili peguam A Surendra Ananth.

Bercakap kepada media selepas itu, Surendra berkata bahawa dia perlu mendapatkan arahan anak guamnya sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Panel itu juga dibarisi hakim Mohamad Zawawi Salleh dan Zaleha Yusof.

Pengurusan kes telah ditetapkan pada 25 Jun dan perbicaraan berikutnya adalah pada 2 Julai.

Ini merupakan prosiding menghina mahkamah pertama melibatkan portal media bebas yang sudah beroperasi lebih 20 tahun.

Sebelum ini, Loke memetik Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 untuk berpendapat bahawa portal berita itu bertanggungjawab dalam membantu memberi komen yang menyinggung perasaan.

Seksyen itu, yang berkaitan dengan andaian fakta dalam penerbitan - menetapkan bahawa seseorang yang merupakan penyedia perkhidmatan rangkaian berdaftar sebagai pelanggan perkhidmatan rangkaian dianggap sebagai orang yang menerbitkan, atau menerbitkan semula penerbitan kecuali jika dibuktikan sebaliknya.

"Orang yang memfasilitasi penerbitan dianggap telah menerbitkan isinya," katanya ketika berpendapat bahawa fakta penerbitan telah dibuktikan.

Mengenai komen yang menyinggung, Loke berpendapat komen-komen itu menskandalkan mahkamah kerana ia secara tidak langsung menyerang Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mendedahkan badan kehakiman terhadap skandal awam dan akan menyebabkan kepercayaan masyarakat terhadap badan kehakiman terhakis.

Surendra memohon mahkamah untuk penangguhan sebentar bagi membolehkan Idrus mempertimbangkan perwakilan anak guamnya bagi menarik 'leave application' peguam negara itu, tetapi ditolak.

Lima komen yang menyinggung itu adalah dari artikel 9 Jun yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” (Ketua Hakim perintahkan semua mahkamah beroperasi sepenuhnya dari 1 Julai).

Idrus telah mengajukan permohonan untuk prosiding perbicaraan pada 15 Jun.

Lihat Komen
ADS