K’jaan sedia pinda SOP ‘terlalu ketat’ pasar malam
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mencadangkan supaya peniaga dan penjaja pasar malam berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), berhubung prosedur operasi standard (SOP) pasar malam yang dianggap mereka sebagai terlalu ketat
Katanya, kerajaan bersedia meminda SOP pengoperasian sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang didakwa ketat oleh penjaja itu.
“Jika ada perkara yang menyusahkan mereka, persatuan diminta untuk berjumpa kembali dengan DBKL bagi membincangkan perkara-perkara yang mereka tidak setuju.
“DBKL boleh bawa perkara ini kepada mesyuarat khas menteri-menteri. Sekiranya boleh dipinda berdasarkan kehendak mereka, Insya-Allah kerajaan pinda,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai PKPP di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri mengulas tindakan kira-kira 500 penjaja dan peniaga pasar malam dekat Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), yang dilaporkan memilih untuk menangguhkan pembukaan semula perniagaan mereka sepanjang PKPP, susulan SOP yang didakwa terlalu ketat.
"Suarakan apa tidak dipersetujui supaya DBKL boleh bentang pada mesyuarat nanti.
“Sekiranya perlu pindaan kepada SOP, kita akan lakukan," katanya.
Semalam, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong TAR, Azkhalim Suradi, berkata SOP itu perlu dikaji semula kerana tidak munasabah untuk dilaksanakan ke atas pasar malam.
Katanya, selain jarak sosial sejauh 1.5 meter antara gerai-gerai berukuran lapan meter persegi, larangan ke atas pengunjung yang membawa kanak-kanak bawah umur 13 tahun dan warga emas berumur 60 tahun ke atas juga sukar dipatuhi.
Selain itu, beliau berkata, kebanyakan pasar malam tidak sesuai untuk dipagarkan kerana keluasan yang terhad. Malah, katanya, jika jarak sosial dipratikkan sebahagian besar penjaja dan peniaga tidak dapat berniaga kerana bilangan gerai yang terhad.

Pada sidang akhbar itu, Ismail sabri juga berkata, tiada larangan untuk membawa kanak-kanak ke tempat awam termasuk pusat beli-belah dan restoran.
Namun, kata menteri itu, ibu bapa perlu mematuhi penjagaan kesihatan sewaktu negara sedang berdepan pandemik Covidd-19.
Menurutnya, tiada peruntukan atau hukuman dikenakan ke atas ibu bapa yang membawa kanak-kanak ke kawasan awam berkenaan, kerana ia tidak diwartakan.
“Tidak ada tegahan untuk tidak benarkan kanak-kanak pergi membeli mainan, beli-belah, dan sebagainya bersama ibu bapa mereka.
“Cuma sering kali saya nasihatkan, kalau boleh jangan bawa kanak-kanak kerana mereka golongan berisiko tinggi, dan ibu-bapa kena jaga kepentingan anak mereka walaupun dipakaikan pelitup separuh muka.
“Tidak ada hukuman kerana tidak diwartakan yang kanak-kanak tidak boleh dibawa ke restoran dan pusat beli-belah.
"Tapi kerana anak-anak berisiko tinggi dengan jangkitan CovidD-19, kita galakkan tidak bawa anak bersama-sama,” katanya.
Tegasnya, kerajaan juga tidak menetapkan halangan untuk kanak-kanak beriadah di taman permainan dan pusat beriadah, namun perlu mematuhi jarakkan sosial selain tidak berhimpit-himpit.
Ditanya sama ada panggung wayang sudah dibenarkan beroperasi, beliau berkata, perkara itu belum diputuskan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

