Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: MP dilantik ke GLC dapat gaji tinggi di saat ekonomi merosot
Diterbitkan:  Jun 17, 2020 5:09 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim mempersoalkan pelantikan ramai anggota Parlimen ke jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di saat negara berdepan masalah ekonomi dan pengangguran susulan wabak Covid-19.

Anwar berkata, apatah lagi jika anggota Parlimen yang dilantik hanya sekadar untuk menerima elaun besar tetapi tiada pengalaman untuk mengangkat GLC tersebut.

"Saya dari awal mengatakan tidak menolak kalau ahli Parlimen itu juga seorang profesional dan juga teknokrat serta punyai pengalaman yang boleh menyelamatkan. Tetapi kalau sekadar dilantik kemudian dengan elaun besar ia tidak membantu," katanya ketika siaran langsung di Facebooknya hari ini.

Beliau memetik Anggota Parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB). Terdahulu timbul dakwaan bahawa beliau menerima elaun bulanan kira-kira RM1 juta.

Bagaimanapun TNB dalam kenyataan semalam menafikan perkara itu dan berkata jumlah yang diterima Mahdzir jauh lebih rendah berbanding dakwaan itu dan ia dinyatakan dalam laporan tahunan syarikat.

"Umpamanya pengerusi TNB, kalau ikut notis mesyuarat atau laporan tahunan TNB, bayaran atau upah yang diterima oleh pengerusi adalah RM30 ribu sebulan, itu asas.

"Cuba kita bandingkan dengan kedudukan ekonomi sekarang dan pengangguran anak muda dan juga golongan yang telah bekerja yang menganggur," kata Anwar.

Anwar memetik laporan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia untuk April 2020 yang menyatakan kadar pengangguran negara melonjak kepada lima peratus dan jumlah penduduk yang tiada pekerjaan meningkat 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 778,800 orang.

"April sahaja telah cecah lima peratus dan dijangka akan meningkat. Di satu pihak, rakyat yang banyak ini sudah (hampir) sejuta menganggur tetapi ahli Parlimen yang bergaji RM15,000 sebulan tambah lagi RM20-30 ribu sebulan," katanya lagi.

Pada masa sama, Anwar menyuarakan kekecewaan melihat beberapa individu yang memimpin GLC terpaksa melepaskan jawatan mereka.

Beliau merujuk peletakan jawatan Abdul Jalil Rasheed sebagai CEO Permodalan Nasional Berhad dan penukaran bekas CEO Petronas Wan Zulkiflee Wan Ariffin untuk menjadi pengerusi Malaysia Airlines Berhad (MAB).

"Saya teruskan dengan beberapa berita mengejutkan, pertama pengunduran Wan Zulkiflee dan kemudian tokoh teknokrat muda yang terkenal di peringkat antarabangsa terutama dengan pengalaman di Singapura iaitu saudara Abdul Jalil (yang) seolah-olah ditekan dan meletakkan jawatan di PNB, itu sangat mengecewakan."

Beliau juga menyebut pelantikan Anggota Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria sebagai pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi menggantikan Dr Narimah Awin.

"Kita tahu seorang tokoh wanita yang juga diminta berundur kerana nampaknya tidak memenuhi selera orang politik, nak ambil ahli Parlimen (untuk) ganti. Pengerusi LPPKN, Dr Narimah Awin telah menjalankan tugas dengan begitu baik, memberikan keyakinan baru tetapi tidak menjadi alat politik...Ini yang kita kesalkan dan sangat mengecewakan," katanya lagi.

Abdul Jalil Rasheed

LPPKN adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menguruskan kependudukan, pembangunan keluarga dan reproduksi di negara ini.

Wan Zulkiflee menamatkan perkhidmatannya pada 14 Jun sementara Narimah pada 16 Jun.

Abdul Jalil pula sebelum ini dilaporkan berkata beliau menghadapi gangguan semasa memegang jawatan sebagai CEO dan presiden kumpulan PNB, dan memilih "jalan sukar" dengan melepaskan jawatannya.

Gesa TNB cari penyelesaian

Mengulas hal berbeza, Anwar menggesa TNB mencari jalan penyelesaian sewajarnya berhubung lonjakan bil elektrik pengguna yang mengundang kritikan ramai.

"Harga bayaran elektrik bagi rakyat melonjak terlalu tinggi dan ini telah menimbulkan kemarahan. Ada yang hantar (adu) rumah (terima bil) RM3,666 dan ada dari Pahang menghantar notis kepada saya, sebulan biasanya RM280 tetapi sekarang RM700.

"Saya gesa TNB pertamanya lanjutkan tempoh pembayaran, jangan potong bekalan elektrik mengikut jadual, dan seterusnya kaji semula dengan maksud menurunkan kadar eletrik yang dikenakan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS