Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis sedang semak identiti lelaki mati di lokap Jinjang
Diterbitkan:  Jun 18, 2020 12:00 AM
Dikemaskini: 4:00 PM

Polis sedang membuat semakan dengan Jabatan Imigresen untuk mengenal pasti identiti warga Nepal yang dikenali sebagai "Dhan Bahadur" yang meninggal dunia ketika dalam tahanan lokap bulan lalu.

Sebelum ini, NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) berkata lelaki itu meninggal dunia selepas lima hari direman di lokap Jinjang di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Kedutaan Nepal memaklumkan lelaki tersebut bukan warga negara itu yang bernama Dhan Bahadur.

Menurut laporan Free Malaysia Today semalam, kedutaan itu berkata lelaki itu masih hidup dan kini berada di Nepal, dan pernah bekerja di Malaysia sehingga 2018 sebagai pengawal keselamatan.

Pihak kedutaan berkata pasportnya mungkin telah disalin tanpa pengetahuannya.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata pegawai penyiasat telah menghantar butiran si mati untuk semakan Jabatan Imigresen pada 28 Mei lalu dan masih menunggu hasil semakan.

"Semasa tangkapan dibuat pada 27 Mei 2020, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dikemukakan oleh si mati. Beliau hanya memberi akuan secara lisan bahawa nama beliau adalah Dhan Bahadur.

"Setelah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, si mati telah menyerahkan salinan dokumen pasport atas nama Dhan Bahadur (No Pasport 06658995) kepada pegawai penyiasat. Gambar dalam salinan pasport adalah sama dengan wajah si mati," katanya.

Katanya lagi, keterangan saksi yang merupakan rakan serumahnya yang turut ditangkap, serta rakan serumahnya yang lain, turut menyatakan bahawa si mati bernama Dhan Bahadur.

Polis akan memberi penerangan kepada Kedutaan Nepal berhubung hasil siasatan esok, katanya lagi.

Lihat Komen
ADS