Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maszlee: Tanpa sokongan bukan Melayu Bersatu hilang 7 kerusi di Johor
Diterbitkan:  Jun 19, 2020 2:26 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

Bersatu berada dalam bahaya dan mungkin menjadi parti sepenggal saja di Johor jika terus memusuhi Pakatan Harapan (PH), kata Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu berkata tanpa sokongan pengundi bukan Melayu, Bersatu akan kalah di tujuh daripada lapan kerusi DUN yang ditandingi pada lalu, termasuk Gambir yang kini disandang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Tiga daripada mereka (kerusi DUN) sudah pasti kalah, terutamanya kerusi Puteri Wangsa kerana ianya merupakan kawasan campur yang mana Bersatu memenanginya kerana pengundi bukan Melayu yang menyokong PH.

"Manakala empat lagi akan kalah ataupun menang tipis berdasarkan demografi bukan Melayu yang besar, termasuk kerusi Gambir milik perdana menteri," katanya dalam satu hantaran di blognya hari ini.

Pada PRU14, Puteri Wangsa, dimenangi oleh Mazlan Bujang yang juga Pengerusi Bersatu Johor ketika ini.

Mazlan memenangi kerusi tersebut dengan kelebihan 24,959 undi. Bagaimanapun komposisi kerusi itu menunjukkan pengundi Melayu hanya ada 39 peratus daripada lebih 62,300 jumlah keseluruhan.

Sementara itu, Gambir pula memiliki 60 peratus pengundi Melayu setakat 2018. Muhyiddin memenangi kerusi berkenaan dengan kelebihan 3,088 undi.

Mungkin juga hilang deposit

Bagaimanapun, jika jumlah undi diperolehi BN dan PAS digabungkan, majoriti Muhyiddin berkurang kepada 1,282 undi.

Maszlee meramalkan cuma kerusi DUN Bukit Kepong agak selamat untuk Bersatu. Ia adalah kawasan yang kini diwaikili bekas menteri besar Johor, Dr Sahruddin Jamal.

Sahruddin memenangi kerusi itu yang mempunyai 69 peratus pengundi Melayu. Pada PRU lalu Sahruddin mendapat 11,655 undi dan menang dengan majoriti 1,273 undi.

Bagaimanapun, jika undi calon BN dan PAS digabungkan, ia membawa kepada jumlah 12,153 undi dan lebih 488 undi daripada undi diperolehi oleh Bersatu.

Maszlee berpendapat bahawa berdasarkan jumlah pengundi dan undi popular parti di Johor adalah 49.4 peratus. Sokongan orang Melayu terhadap Bersatu semasa PRU ke-14 hanya pada 29.6 peratus.

Katanya, hampir separuh dari undi Melayu ini adalah bekas pengundi tradisi Umno yang mengundi Bersatu pada PRU14 atas faktor menolak korupsi dan rasuah Umno,begitu juga dengan faktor Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin Yassin

Jika penyokong ini dikeluarkan dari perkiraan, Maszlee mendakwa Johor Bersatu hanya akan memiliki sembilan peratus undi popular.

Andainya Bersatu berhadapan pertandingan tiga penjuru menentang Umno dan PH, katanya, kemungkinan parti itu akan hilang deposit pada PRU15 nanti.

Dengan kedudukan sangat lemah, Maszlee mempersoalkan bagaimana Bersatu boleh membuat tuntutan untuk berebut lebih banyak kerusi dengan Umno dan PAS.

Apatah lagi, katanya, untuk memenangkan kerusi tersebut dan menyumbang kepada gabungan PN.

"Jika berterusan bersama PN, Bersatu akan termaktub dalam buku sejarah sebagai sebuah parti satu penggal pilihan raya di Johor," katanya.

Tambahnya, bersama PN juga bermaksud Bersatu rela menjadi melukut di tepi gantang dengan menobatkan Umno selamanya sebagai pemerintah Johor.

Beliau bertanya apakah ini yang dimahukan oleh rakyat ketika mereka mengundi Bersatu dalam PRU14 yang lalu dan juga harapan ahli-ahli Bersatu di Johor ketika mereka meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu pada awal penubuhannya dahulu.

Pada PRU14, Bersatu bertanding di 17 kerusi DUN di Johor. Daripada jumlah itu mereka menang lapan. Kemudian tiga Adun Umno menyertai Bersatu untuk memberi sokongan kepada kerajaan PH.

Pada Februari, Bersatu bertindak kkeluar dari gabungan PH dan menubuhkan gabungan PN di Johor, dan menyaksikan mereka kehilangan jawatan menteri besar kepada Umno.

Lihat Komen
ADS