Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Polis hanya ikut prosedur, bukan berniat takutkan ahli politik
Diterbitkan:  Jun 19, 2020 2:28 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Polis hanya mengikut prosedur dan tidak mempunyai niat untuk menakut-nakutkan ahli ahli politik, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Merujuk siasatan yang melibatkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Hamid berkata polis bertindak mengikut garis panduan yang ada.

"Kami mengambil tindakan berdasarkan laporan seorang individu, yang menuduh dia (Yeoh) telah mengeluarkan kenyataan yang mungkin dianggap menghasut.

"Namun, kami juga mendapati bahawa dia mendakwa ada usaha untuk memfitnahnya," katanya seperti dipetik oleh The Star.

Hamid berkata polis mengikuti prosedur biasa dan meminta Yeoh datang ke Bukit Aman untuk menjelaskan perkara itu bagi memudahkan siasatan.

"Ini bukan tindakan menakut-nakutkan.

"Di bawah pengawasan saya, saya tidak akan - dan tidak pernah - membiarkan polis mengambil tindakan yang boleh dianggap sebagai mempunyai motif politik.

"Kami akan bersikap adil, dan tidak ada soal polis berusaha menakut-nakutkan atau menekan kebebasan bersuara ... bukan di bawah pengawasan saya," katanya.

Hamid menambah bahawa polis akan menyiasat mereka yang bertanggungjawab sekiranya didapati tuduhan Yeoh bahawa seseorang cuba memfitnahnya adalah benar.

Polis sedang menyiasat pemilik akaun Facebook "Hannah Yeoh" di bawah Akta Hasutan kerana didakwa menghasilkan catatan hasutan.

Bagaimanapun, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu menegaskan bahawa hantaran di Facebook itu, yang dikaitkan dengannya, adalah palsu.

Yeoh juga disiasat berhubung ciapan di Twitter miliknya bertarikh 9 Mac yang bertanya mengenai nasib Pelan Strategik Nasional untuk Menangani Punca Perkahwinan Di Bawah Umur yang kini di bawah pengawasan penggantinya Siti Zailah Mohd Yusoff.

Polis juga mengesahkan siasatan ini, dengan mengatakan bahawa Yeoh akan disiasat di bawah Seksyen 505 (c) dan Seksyen 233.

Selain Yeoh, polis juga sedang menyiasat bekas menteri air, tanah dan sumber alam Xavier Jayakumar.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga disiasat berhubung wawancaranya pada bulan Mac di mana dia mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hamid memberi jaminan bahawa polis juga akan mengikut prosedur siasatan terhadap Syed Saddiq.

Ketua polis negara itu mengarahkan pegawainya agar berhati-hati dalam siasatan tersebut.

"Perdana Menteri Muhyiddin telah memberitahu saya bahawa polis tidak boleh menjadi alat untuk digunakan untuk menentang musuh politik kerajaan.

"Malah, semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH), perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad menasihati saya untuk tidak mengambil tindakan berdasarkan motif politik.

"Polis berada di landasan yang betul, mengambil tindakan berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang Persekutuan," kata Hamid.

Hamid menambah bahawa dia bersedia bertemu dengan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dan menjelaskan perkara berbangkit kepada mereka.

Lihat Komen
ADS