Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganggur dipenjara lupus barang curi kerusi urut

Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini kerana melupuskan harta curi iaitu sebuah kerusi urut tahun lepas.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Azuwar Sawalludin, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan melupuskan kerusi urut milik Shah Affandi Ibrahim dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapnya pada 15 Jun lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah unit Residen Sky Awani, Jalan Sentul Perdana di sini, pada 11.00 malam 19 Nov tahun lepas mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menjaga anak dan bapanya yang uzur.

- Bernama

Lihat Komen
ADS