Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah dan DAP saran Lee rujuk Saifuddin Nasution
Diterbitkan:  Jun 20, 2020 6:09 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

DAP dan Amanah menyarankan Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung, membuat rujukan kepada setiausaha agungnya berkenaan perkembangan sebenar pertemuan di Pakatan Harapan (PH) serta Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke; dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata Lee wajar berbuat demikian sebelum memberikan sebarang kenyataan.

"Kami mencadangkan supaya Lee merujuk kepada Ketua Setiausaha PH, Saifudin Nasution Ismail untuk mendapatkan catatan minit mesyuarat tersebut sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya.

"Seperti yang dikatakan semalam, kami menghormati keputusan dan pendirian PKR, dan menerimanya dengan hati terbuka. Namun fakta sebenar tidak perlu disembunyikan," kata mereka.

Pagi tadi Lee yang juga Adun Semambu di Pahang mempertikaikan langkah DAP dan Amanah mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri PH Plus.

Kata Lee, sebagai orang yang biasa biasa dengan peraturan mesyuarat, sebarang keputusan PH sepatutnya dicapai dalam mesyuarat gabungan berkenaan terlebih dulu sebelum ia boleh dibawa ke mesyuarat lain.

Misalnya, kata beliau, mengadakan perbincangan bagi mendapatkan kelulusan dengan PH Plus.

Tak tahu kandungan perbincangan

"Jika tidak boleh, ia perlu dibawa balik ke meja rundingan PH dan ini adalah norma asas mesyuarat.

"Jika PH mengiktiraf opsyen kedua, kenapa Loke masih perlu memohon PKR untuk memaklumkan keputusan melalui paparan media?" katanya.

Lee juga menyenaraikan kronologi mesyuarat PH dan kumpulan Mahathir sebelum ini.

Menurut Loke dan Khalid lagi, Lee bukanlah sebahagian daripada anggota Majlis Presiden PH, justeru beliau tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat badan berkenaan.

Lee Chean Chung

"Justeru itu, beliau tidak tahu isi kandungan perbincangan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat 30 Mei tersebut.

"Kami mengeluarkan kenyataan semalam kerana itulah yang telah diputuskan dan ianya telahpun diminitkan," kata mereka.

Semalam dalam kenyataan bersama, Loke dan Khalid berkata mesyuarat PH bersetuju sekiranya keputusan mencalonkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak memungkin mereka untuk merampas Putrajaya, usaha diteruskan dengan pilihan kedua mencalonkan pengerusi Bersatu yang dipertikaikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Anwar timbalan.

Bagaimanapun, Lee berkata mesyuarat PH pada 30 Mei lalu adalah untuk menentukan resolusi agar Anwar dicalonkan sebagai perdana menteri.

"Tiada resolusi kedua atau opsyen kedua. Opsyen kedua hanya dicadangkan oleh Dr Mahatir Mohamad dalam mesyuarat PH Plus pada 9 Jun namun ia tidak pernah dibawa ke mesyuarat PH selepas itu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Lihat Komen
ADS