Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir kesal PH 'tak berminat' kalahkan Muhyiddin
Diterbitkan:  Jun 21, 2020 1:12 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, Dr Mahathir Mohamad menyatakan rasa kesal kerana Pakatan Harapan (PH) dilihat seolah-olah tidak berminat untuk mengambil alih semula kerajaan.

Beliau berkata demikian susulan keputusan PKR yang mahukan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dan tidak sependapat dengan parti komponen PH yang lain iaitu Amanah dan DAP.

“Itu terpulang kepada mereka, kita tidak akan paksa kalau mereka tidak bersetuju. Tetapi, kita pun tidak bersetuju juga dengan dia.

“Jadi, itulah keadaan sekarang, tergantung-gantung, tidak ada keputusan. Ini menunjukkan bahawa kita sebenarnya tidak berminat untuk kalahkan Muhyiddin,” katanya seperti dipetik portal Astro Awani.

Mahathir berkata demikian selepas menghadiri program sembang santai bersama ahli Bersatu di Langkawi semalam.

Dalam mesyuarat bulanan majlis pimpinan pusat PKR pada 19 Jun lalu, parti itu secara rasmi menolak pencalonan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan mahukan jawatan itu disandang presidennya, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, parti itu terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Dr Mahathir “demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya”.

Dr Mahathir sebelum ini dikatakan mencadangkan agar beliau diberi enam bulan untuk memimpin sebagai perdana menteri sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

Kerajaan PH tumbang penghujung Februari lalu selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengeluarkan parti itu dari gabungan berkenaan, manakala Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Krisis politik selama seminggu itu berakhir apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru pada 1 Mac dan menubuhkan gabungan kerajaan baru.

Lihat Komen
ADS