Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah mendapat keizinan daripada pejabat peguam negara untuk mendakwa menteri pembangunan infrastruktur Sabah, Peter Anthony esok.

Perkara itu dimaklumkan SPRM menerusi undangan kepada pihak media untuk membuat liputan kes berkenaan, namun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai kes itu.

Peter yang merupakan Adun Warisan akan didakwa di mahkamah sesyen Kuala Lumpur esok.

Terdahulu, Peter menghadapi dua tuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bulan ini.

Pada 11 Jun, dia menghadapi lima tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM8.75 juta.

Pada 18 Jun, dia menghadapi tuduhan bersubahat melakukan jenayah pecah amanah berjumlah RM15,545,400 yang melibatkan perjanjian tanah antara tahun 2014 dan 2015.