Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi Bersatu Kelantan ganti Husam terajui Kada

Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamarudin Md Nor dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkuat kuasa 16 Mei lalu bagi menggantikan posisi yang sebelum ini disandang oleh Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

Perkara itu didedahkan melalui kenyataan ucapan tahniah Kada melalui laman Facebooknya, semalam.

"Semoga Kada terus mengorak langkah memenuhi agenda untuk kesejahteraan petani seterusnya membantu dalam menjamin bekalan makanan negara," kata kenyataan itu.

Sementara itu Kamarudin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

"Maaf saya belum masuk pejabat Kada lagi, insya-Allah minggu depan," katanya.

Terdahulu surat pelantikan Kamarudin itu tular di media sosial sejak semalam.

Ia ditandatangani Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee yang menyebut pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik (Kamarudin) sebagai pengerusi Kada selama 2 tahun berkuat kuasa 16 Mei 2020 hingga 15 Mei 2022," kata Ronald.

Sebagai rekod sebelum ini Husam yang juga pengerusi PH Kelantan yang dilantik menerajui agensi itu sejak 1 Mac 2019.

Lihat Komen
ADS