Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M tak minat jatuhkan Muhyiddin jika tak dapat jadi PM lagi?
Diterbitkan:  Jun 22, 2020 12:39 PM
Dikemaskini: 4:41 AM

Pemimpin Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata Dr Mahathir Mohamad kelihatan tidak berminat menjatuhkan Muhyiddin Yassin kecuali jika diberi peluang membuat kemunculan ketiga sebagai perdana menteri.

Setiausaha Pemuda PKR negeri itu berkata Mahathir kelihatan beriya-iya mencadangkan dirinya untuk menggantikan Muhyiddin, yang disokong oleh bekas anggota parlimen Bersatu dan Warisan.

“Malah beliau (Mahathir) dan Shafie Apdal seolah menolak untuk meneruskan agenda mengambil semula mandat rakyat sekiranya Tun Mahathir tidak disokong oleh blok Pakatan Harapan untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razeef berkata ia turut menimbulkan persoalan sama ada Mahathir mendapat sokongan cukup ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk sekurang-kurangnya majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Razeef turut menyentuh syarat Mahathir bahawa beliau hanya akan menjadi perdana menteri selama enam bulan sebelum menyerahkan jawatan kepada Anwar, atas alasan Anwar merupakan presiden kepada parti berbilang kaum dan tidak mampu menarik majoriti sokongan Melayu.

“Pada saya alasan beliau tidak masuk akal. Jika sebelum ini beliau berdolak-dalih untuk melaksanakan peralihan kuasa dan bagi beliau dua tahun tidak cukup, bagaimana kita boleh yakin beliau akan melepaskan jawatan selepas enam bulan?

“Dan selepas enam bulan pun Datuk Seri Anwar masih seorang presiden kepada sebuah parti berbilang kaum,” katanya.

Anwar dalam siaran langsung di Facebook malam tadi mengatakan bahawa PH memang pernah membincangkan Mahathir sebagai pilihan kedua untuk perdana menteri.

Menurutnya cadangan ini diusulkan bagi mendapatkan jumlah ahli parlimen mencukupi untuk mengambil alih Putrajaya.

Bagaimanapun, Anwar berkata pada masa ini, Mahathir juga tidak mempunyai bilangan ahli parlimen yang cukup.

Lihat Komen
ADS