mk-logo
Berita
Pawagam, teater, persembahan langsung dibenarkan mulai 1 Julai
Diterbitkan:  Jun 22, 2020 2:33 PM
Dikemaskini: Jun 23, 2020 8:38 AM

Kegiatan pawagam, teater dan acara persembahan langsung dibenarkan beroperasi semula bermula 1 Julai ini.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pematuhan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata kegiatan itu hanya dibenarkan di dewan tertutup dengan peserta tidak boleh melebihi 250 hadirin, tertakluk kepda kapasiti dewan.

Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama berkenaan penjarakan sosial perlu dipatuhi pada setiap masa, katanya lagi.

"Jika dewan boleh memuatkan kurang 250 orang selepas pelaksanaan peraturan (penjarakkan sosial) satu meter, maka penganjur perlu akur dengan jumlah yang lebih rendah," katanya.

Ismail berkata, kegiatan riadah di kolam renang serta pelancongan air (sungai, laut dan tasik) turut dibenarkan pada tarikh tersebut, dengan SOP yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, taman tema air masih tidak dibenarkan untuk beroperasi lagi," katanya.

Menurut Ismail, kebenaran riadah kolam renang melibatkan kolam awam, hotel, kondominium, kejiranan berpagar serta kolam persendirian, dengan beberapa syarat seperti menyediakan pemantau (life guard) atau penuelia bagi memastikan keselamatan serta jumlah pengguna yang terkawal.

"Jomlah pengguna dalam kolam renang perlu berdasarkan kapasiti dan keluasan kolam renang. Walaupun tiada larangan bagi kanak-kanak untuk turut menggunakannya, namun ia tidak digalakkan," katanya lagi.

Katanya lagi, kolam renang yang ingin kembali dibuka perlu didaftar di laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta pihak berkuas tempatan bagi tujuan pematuhan SOP dan pantauan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pihak berkuasa tempatan.

Kebenaran untuk mesyuarat agong

Selain itu, turut dibenarkan kembali dibuka mulai 1 Julai ini adalah penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus dan latihan dengan penyertaan juga tidak lebih 250 orang.

"Pada dasarnya, kebenaran meliputi semua organisasi yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Pejabat Pesuruhjay Sukan malaysia dan Pendaftar Pertubuhan Belia untuk mengadakan mesyuarat agong dan mesyuarat lain.

"Kebenaran ini juga meliputi semua mesyuarat, termasuk mesyuarat agong bagi syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.

Katanya, kebenaran juga meliputi koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), persatuan yang berdaftar di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

"Penganjur dan peserta hendaklah mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS