Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: 15 kes baru, sifar penularan tempatan babitkan warganegara
Diterbitkan:  Jun 22, 2020 5:20 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Tiada kes penularan Covid-19 dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia dilapor hari ini selepas pertama kali direkodkan pada 9 Jun lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, setakat jam 12 tengah hari ini, terdapat 15 kes baru yang dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,587 kes.

“Daripada kes baru yang dilaporkan, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan terdiri daripada warganegara Malaysia, manakala kesemua 13 kes penularan dalam negara adalah dalam kalangan bukan warganegara.

"Bagi kes melibatkan bukan warganegara, satu daripadanya adalah kes saringan pra pembedahan di Hospital Selayang, Selangor, manakala 12 lagi daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan," katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Kluster Pedas sekarang adalah kumpulan penularan ketiga terbesar di negara ini.

Dr Noor Hisham juga mengumumkan bahawa, 21 individu telah pulih daripada Covid-19 dan dibenarkan discaj hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya kepada 8,177 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 289 kes.

"Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Beliau juga berkata tiada pertambahan kes kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal 121 orang atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, dua pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi tiada lagi yang memerlukan bantuan pernafasan.

 

Lihat Komen
ADS