Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN cuba takut-takutkan MP pembangkang, kata PH
Diterbitkan:  Jun 22, 2020 6:20 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Pakatan Harapan (PH) mengecam tindakan Perikatan Nasional (PN) menggunakan pihak berkuasa bagi menakut-nakutkan ahli parlimen pembangkang selain cuba menimbulkan persepsi negatif.

Dalam satu kenyataan, Majlis Setiausaha PH berkata kerajaan PN sepatutnya lebih matang dan terbuka dalam menangani perbezaan politik.

"Majlis Setiausaha PH mengambil maklum siri tindakan di mana ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuk dari PH telah dipanggil pihak berkuasa untuk disoal siasat.

"Ada kalanya tindakan-tindakan ini bersekali laporan-laporan media yang menimbulkan persepsi tertentu terhadap individu-individu tersebut.

"Majlis Setiausaha PH berpandangan bahawa tindakan-tindakan ini adalah satu bentuk intimidasi terhadap musuh politik. Kami mengecam keras tindakan-tindakan intimidasi ini," kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan bersama membabitkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Pengarah Komunikasi Parti Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Antara pemimpin pembangkang yang ketika ini yang sedang disiasat pihak berkuasa, adalah Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Peter Anthony.

Beliau dijangka dituduh di Mahkamah Kota Kinabalu esok.

Peter yang memaklumkan pertuduhan mungkin berhubung pengubahan wang haram melibatkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) antara 2012 dan 2013.

Empat hari lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil ke Bukit Aman, bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya didakwa berunsur hasutan dalam temu bual bersama sebuah stesen televisyen antarabangsa.

Ahli Parlimen Muar itu dalam temu bual yang disertainya pada Mac lalu yang mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

Syed Saddiq berkata Bukit Aman memaklumkan kepadanya pada 13 Jun bahawa dia disiasat kerana kemunculannya di dalam program Al Jazeera, UpFront pada 6 Mac lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan kerajaan PN itu hanya akan mewujudkan persepsi negatif terhadap politik dan demokrasi Malaysia di mata dunia.

Oleh Majlis Setiausaha PH menggesa agar tindakan-tindakan intimidasi ini dihentikan serta-merta.

Pihak PN seharusnya lebih matang dan terbuka dalam menangani pendirian politik yang berbeza dari yang dipegang Perikatan Nasional itu sendiri.

"Demokrasi di Malaysia harus dipertahan dan diselamatkan dari piihak yang ingin merosakkan keadaan demi kepentingan peribadi dan kelompok politik mereka," kata kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS