Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar sedia pertimbang jawatan menteri mentor untuk Dr M
Diterbitkan:  Jun 23, 2020 8:20 AM
Dikemaskini: 12:21 AM

Anwar Ibrahim berkata, beliau terbuka untuk berbincang mengenai kedudukan Dr Mahathir Mohamad jika ahli parlimen Langkawi itu bersedia dijadikan menteri kanan atau kedudukan yang seumpama dengannya.

Bercakap dalam sesi temu bual dengan stesen Channel News Asia (CNA), presiden PKR itu sekali lagi menegaskan bahawa tidak wajar Mahathir diangkat sebagai perdana menteri untuk kali ketiga.

"Mereka bercakap mengenai menteri kanan (atau) menteri mentor macam Lee Kuan Yew.

"Saya terbuka untuk perbincangan (mengenai hal itu)," katanya menjawab soalan Ketua Biro Malaysia CNA, Melissa Goh.

Potongan video tersebut dimuat naik Melissa melalui akaun Twitternya malam tadi.

Untuk rekod Lee ialah bekas perdana menteri pertama Singapura yang kemudian dilantik sebagai menteri mentor selepas beliau berundur daripada jawatannya selepas 34 tahun.

Dalam temu bual berkenaan, Anwar dilaporkan ditanya mengenai cadangan agar Mahathir dipilih sebagai calon perdana menteri pembangkang untuk menarik sokongan mencukupi bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi kerajaan.

PH mendapat mandat daripada rakyat melalui pilihan raya umum (PRU) pada 2018 tetapi jatuh selepas Langkah Sheraton digerakkan bersama sekumpulan pemimpin PKR serta sebahagian besar orang dalam Bersatu.

Malaysia berhak dapat lebih baik

Dalam PRU ke-14 lalu BN dan PAS gagal mendapat mandat rakyat untuk menjadi kerajaan namun melalui kerjasama mereka dengan bekas pemimpin PKR dan Bersatu kedua-dua pihak berkenaan kemudian menguasai Putrajaya dan sebahagian besar negeri di negara ini.

Semasa menyampaikan ucapan sebagai perdana menteri, Muhyiddin Yassin pernah mengakui Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang bukanlah kerajaan yang dipilih pengundi, namun menegaskan ia merupakan pentadbir yang mengambil berat hal-hal rakyat.

Ketika ini sebahagian parti pembangkang menyarankan Mahathir dilantik sebagai calon perdana menteri dan Anwar menjadi timbalannya. Mahathir kemudian berkhidmat selama enam bulan sebelum menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar.

Bagaimananapun PKR bertegas enggan menerimanya dan kekal mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri.

Kata Anwar jika usul itu diterima PH akan menghabiskan masa selama enam bulan sebagai kerajaan tanpa dapat memberikan perhatian kepada usaha reformasi sebaliknya berhujah mengenai pelbagai isu seperti tarikh peralihan kuasa dan kemungkinan rombakan kabinet.

Kerajaan baru, kata Anwar, mesti komited sepenuhnya kepada pembaharuan struktur.

"Pada pandangan saya beliau (Mahathir) sudah menjadi perdana menteri dua kali. Sudah masanya untuk kita melangkah ke depan.

"Saya tegaskan bahawa ia bukan isu personaliti. Ia adalah mengenai peluang untuk pemulaan baru untuk negara ini.

"Malaysia berhak mendapat yang lebih baik. (Ada) begitu banyak kekecewaan politik sekarang," katanya.

Dalam temu bual sama ahli parlimen Port Dickson itu juga dilaporkan berkata, PH mesti bersedia menghadapi kemungkinan berlaku PRU mengejut seawal Ogos ini.

Beliau juga yakin PH mampu memenangi PRU jika ia diadakan.

"Kita mesti sentiasa - dalam sistem demokrasi - mempercayai kebijakan rakyat," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS