Dewan Rakyat hari ini sekali lagi dicemari dengan kata-kata kesat apabila penyokong kerajaan dan anggota pembangkang saling menyerang antara satu sma lain dengan kata-kata kesat.

Perang mulut itu tercetus apabila Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mempersoal kehadiran anggota pembangkang, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) walaupun beliau dalam keadaan uzur.

Bung yang tidak puas hati dengan tindak tanduk Karpal mempersoalkan kesilapan jawapan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum berkaitan rampasan harta benda di bawah Akta Dadah Merbahaya telah mempersendakan Karpal dengan memintanya bersyukur kerana tidak mati dalam kemalangan kereta pada awal tahun 2005 tetapi masih mampu bergerak dengan menggunakan kerusi roda.

Karpal yang berang dengan kata-kata ahli Parlimen Kinabatangan telah memanggilnya ' binatang'. Kata-kata Karpal itu dijawab oleh Bung dengan mengatakan;" Dialah binatang gila, sudah hampir maut, mengapa masih ada di sini..."

Pengerusi Kebangsaan DAP itu menambah: "Dua ekor ini (merujuk kepada Bung dan Johari) patut dihadapkan ke jawatankuasa khas Parlimen untuk dikenakan tindakan disiplin."

Perang mulut antara kedua-dua mereka telah menyebabkan para penyokong kerajaan dan anggota pembangkang lain bangkit menyerang satu sama lain dengan kata-kata biadap lain seperti ' syaitan, manusia liar dan bodoh'.

Antara yang turut bersuara ialah Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dan M Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) yang menyokong usul Karpal untuk menghadapkan kedua-dua wakil rakyat itu ke jawatankuasa disiplin.

Bung bagaimanapun membantah usul itu dengan menegaskan: "Tidak perlu, kita tidak tahu dari mana syaitan ini datang."

Ketika ini penyokong kerajaan, Badruddin Amiruddin ( BN-Jerai ) mencelah:" Duduklah budak kecik," yang merujuk kepada Fong, ahli Parlimen termuda di Dewan Rakyat sekarang.

Seorang lagi penyokong kerajaan, Suhaili Abdul Rahman (BN-Labuan) kemudianya campurtangan dengan menjerit " diamlah Karpal" manakala Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) mencelah meminta Timbalan Menteri itu membetulkan fakta di dalam jawapannya.

Pada satu ketika, Bung menjerit: "duduklah... orang bodoh."

Johari bagaimanapun kemudiannya menjelaskan jawapannya tidak salah tetapi soalan dari Ronald Kiandee (BN-Beluran) yang tersilap apabila menyebut nama akta berkenaan sebagai 'Akta Dadah Merbahaya 1989'.