Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hannah Yeoh selesai beri keterangan di Bukit Aman

Polis selesai mengambil keterangan daripada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dimuat naik menerusi laman sosial, baru-baru ini.

Yeoh tiba di Bukit Aman ditemani oleh dua peguamnya, Gobind Singh Deo, serta Syahredzan Johan. Beliau menghabiskan masa kira-kira sejam untuk memberi keterangan kepada seorang pegawai penyiasat di situ.

Gobind ketika ditemui pemberita berkata, Yeoh menyerahkan telefon bimbit dan kata laluan akaun media sosialnya untuk membantu siasatan polis.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan bekas timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, berada di Bukit Aman pagi ini untuk memberi keterangan.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 11 Jun, polis membuka satu kertas siasatan berhubung kenyataan yang dibuat pemilik akaun ‘Hannah Yeoh’ di Facebook, yang dilihat mempunyai kecenderungan menghasut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS