Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rayuan kes lucut hak RM194j dibuat dalam masa terdekat

Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan rayuan dalam tempoh terdekat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman kerajaan untuk melucut hak wang berjumlah RM194 juta disita daripada Umno, Wanita MCA, Binsabi Sdn Bhd dan Perano Sdn Bhd, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata permohonan rayuan terhadap empat entiti itu akan difailkan pihak pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara.

Menurut SPRM, tempoh rayuan yang diberikan adalah dua minggu dari tarikh keputusan mahkamah.

Empat entiti itu kekal memperoleh semula wang RM194 juta yang disita SPRM selepas kerajaan - pada 19 Jun lepas - gagal dalam permohonan untuk menggantung perintah mahkamah tinggi pada 7 Feb, yang menolak permohonan untuk melucut hak wang berkenaan yang dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dikaitkan dengan 1MDB.

Permohonan perlucuthakan terhadap Umno membabitkan wang RM192,965,413.61 dan RM300,000 bagi Wanita MCA, manakala Perano yang menjual hijab dan Binsabi yang membekalkan khemah, masing-masing RM337,634.78 dan RM827,250.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan perlucuthakan terhadap keempat-empat responden mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

- Bernama

Lihat Komen
ADS