Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak rayuan gabung 12 pertuduhan pecah amanah Zahid

KES ZAHID | Mahkamah Rayuan menolak rayuan untuk menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) terhadap Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dana Yayasan Akalbudi, kepada tiga pertuduhan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Yaacob Md Sam sebulat suara menolak rayuan bekas timbalan perdana menteri itu hari ini.

"Kami berpandangan tiada kesalahan yang membolehkan rayuan dalam isu ini," katanya ketika menyampaikan penghakiman lisan ringkas.

Panel turut dibarisi hakim P Ravinthan dan Ahmad Nasfy Yasin.

Zahid membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 November tahun lalu, yang menolak permohonannyauntuk mengabungkan 12 pertuduhan CBT kepada tiga.

Terdahulu ketika penghujahan hari ini, Hisyam berhujah bahawa 12 pertuduhan tersebut perlu digabungkan antara lain untuk memastikan keadilan terhadap Zahid.

Peguam itu berkata, penggabungan itu selaras dengan Seksyen 153(2) Kanun Tatacara Jenayah, yang menurutnya satu keperluan mandatori.

Secara umumnya, seksyen tersebut berkenaan perincian pertuduhan dari segi tempat, masa dan individu terlibat.

Bagaimanapun Sazilee berkata seksyen tersebut tidak mandatori dan apa yang penting adalah pendakwaan dapat membuktikan setiap unsur pertuduhan.

Ketika ditemui selepas prosiding hari ini, peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Berkenaan sama ada mereka akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan, Hisyam berkata beliau akan berbincang dengan Zahid terlebih dahulu.

DPP Ahmad Sazilee Abdul Khairi mewakili pendakwaan, yang merupakan responden dalam prosiding ini.

Keputusan pada 8 November tahun lalu dibuat hakim Collin Lawrence Sequerah selepas mendapati 12 pertuduhan terhadap Zahid adalah jelas.

Sequerah juga memutuskan tertuduh dapat memahami 12 pertuduhan untuk menyediakan pembelaannya, justeru isu prejudis tidak berbangkit.

Antara 19 Oktober 2018 hingga 20 Februari 2019, Zahid minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk 47 pertuduhan; 12 untuk CBT, lapan untuk rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram melibatkan dana daripada Yayasan Akalbudi.

Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Perbicaraan akan bersambung pada 3 Julai ini.

Lihat Komen
ADS