Hanya terdapat tiga kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 8,590 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan, berkata, semua kes baru - dua kes membabitkan bukan warganegara dan satu kes warganegara Malaysia - adalah penularan di dalam negara yang berasal dari kluster sedia ada.

Selain itu, katanya, tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dilaporkan hari ini.

Perincian kes penularan dalam negara itu adalah seperti berikut:

  • Negeri Sembilan - satu kes daripada kluster Pedas yang melibatkan bukan warganegara Malaysia.
  • Sabah - dua kes daripada kluster MDR (meninggal di rumah) yang melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat sembilan kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,186 kes atau 95.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa sehingga kini, sebanyak tiga kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiada mangsa yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham juga mengumumkan penamatan kluster Persidangan Gereja di Kuching, Sarawak.

Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan

“Kluster ini merupakan salah satu kluster yang telah dikesan sejak awal wabak Covid-19 di Malaysia, iaitu pada 15 Mac lalu.

“Sehingga 23 Jun, seramai 2,751 telah disaring dan didapati 191 kes yang positif Covid-19. 12 kes telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan terdapat tiga kes kematian dalam kluster ini,” katanya.

Beliau turut memberi perincian kematian berkenaan.

  • kematian ke-2 (iaitu kes ke-358);
  • kematian ke-37 (iaitu kes ke-2471); dan
  • kematian ke-67 (iaitu kes ke-2864).

Katanya, kluster itu telah melibatkan sehingga lima generasi dari pelbagai kawasan di Sarawak.

“Kini, kluster ini telah pun sampai ke pengakhirannya.

“KKM ingin mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) serta semua petugas yang telah memberikan perkhidmatan masingmasing dalam segala aktiviti berkaitan kluster ini,” katanya lagi.