Mara buru peminjam tegar bulan depan
Awas, anda mungkin salah seorang daripada 'orang buruan' Majlis Amanah Rakyat (Mara) bulan depan jika anda mempunyai hutang yang tertunggak sekian lama.
Awas, anda mungkin salah seorang daripada 'orang buruan' Majlis Amanah Rakyat (Mara) bulan depan jika anda mempunyai hutang yang tertunggak sekian lama.
Mara akan menghantar ejen-ejen pengutip hutangnya bagi mendapatkan balik RM500 juta hutang tertunggaknya dari ribuan peminjam tegarnya.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zamani Mohd Nor, 13 syarikat pengurusan dan guaman telah dilantik untuk mengutip hutang berkenaan dan akan memulakan operasi pada bulan depan.
Beliau berkata, dengan cara baru ini, Mara mensasarkan kutipan tahun ini mencapai RM20 juta.
"Bagi memastikan sistem ini telus dan tiada penipuan, ejen yang dilantik diberikan kad kuasa untuk menjalankan tugas, serta sebarang bayaran melalui cek perlu dibuat atas nama Mara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di ibunegara selepas melancarkan program mencintai buku serta sebuah buku bertajuk "Potret Wajah Pelbagai Zaman" yang merekodkan koleksi gambar-gambar sejarah Mara sejak penubuhananya pada tahun 1966 .
Zamani berkata Mara terpaksa menggunakan pendekatan baru ini kerana beberapa langkah termasuk menyiarkan nama peminjam di akhbar serta menyenaraikan hitam nama-nama peminjam tersebut, didapati masih tidak berkesan.
Menurut laporan Bernama, ejen kutipan Mara yang dilantik terdiri daripada Sahariah And Ass Sdn Bhd, Noble Landmark Sdn Bhd, Tetuan Amirul And Coperation, Julitas Management, Q Matik Sdn Bhd, Ekspress Solution Sdn Bhd, Intellitec Asso Sdn Bhd, Pasadana Sdn Bhd, Priority Sdn Bhd, Seroja Anggerik Development, Yaacob Management and Consultancy Sdn Bhd, BJ Management and Service dan Yayasan Pelajaran Mara.
" Agensi ini dilantik berdasarkan bidang tugas dan pihak kami juga akan pastikan mereka menggunakan pendekatan yang lemah lembut, pujuk rayu dan dengan erti kata lain bukan menggunakan pendekatan kasar," katanya.
Beliau berkata ejen ini akan diberi 12 peratus daripada jumlah kutipan yang mereka perolehi daripada bekas pelajar, usahawan dan penyewa premis Mara yang masih belum menjelaskan hutang-hutang mereka.

