Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysiakini mohon ketepi kebenaran prosiding hina mahkamah

Malaysiakini memfailkan permohonan untuk mengenepikan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk Peguam Negara (AG) Idrus Harun memulakan prosiding hina mahkamah terhadap portal berita tersebut.

Notis usul difailkan Tetuan Surendra Ananth di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan semalam.

Pada 16 Jun lalu, Idrus dilaporkan memfailkan prosiding hina mahkamah terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya berhubung komen pembaca berkenaan badan kehakiman.

Sehari kemudian, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk membenarkan prosiding itu dengan pengurusan kes ditetapkan 25 Jun (hari ini) dan prosiding bermula 2 Julai ini.

Selain Malaysiakini, turut dinamakan sebagai responden adalah ketua pengarangnya, Steven Gan.

Menurut salinan notis usul yang dilihat Malaysiakini, portal berita itu memohon perintah mahkamah untuk mengenepikan perintah Mahkamah Persekutuan bertarikh 17 Jun yang memberi kebenaran untuk AG memulakan prosiding komital terhadapnya.

Menurut afidavit sokongan bagi permohonan itu yang ditandatangani Gan, beliau dan Malaysiakini tidak boleh dianggap dari segi undang-undang sebagai menerbitkan komen tersebut sehingga penerbitan boleh dianggap berpunca daripada mereka.

Steven Gan

Beliau berkata, ini kerana dengan jumlah komen yang banyak, tidak mungkin Malaysiakini dapat mengawal komen secara langsung, justeru mengguna pakai kepada proses 'peer reporting'.

Katanya, hanya pelanggan dalam talian pihak ketiga yang dibenarkan menerbitkan komen dan mereka hendaklah setuju dengan terma dan syarat sebelum berbuat demikian.

Seperti portal berita dalam talian lain, pembaca dan pelanggan bebas memberi komen berkenaan berita yang dilaporkan dan menjadi ciri penting bagi media dalam talian, selain membolehkan perbincangan diadakan tentang perkara semasa yang berkaitan dengan kepentingan awam, katanya lagi.

"Saya dinasihatkan oleh peguam cara bahawa permohonan kebenaran tidak mendedahkan kes prima facie.

"Pemohon hendaklah menunjukkan kepada mahkamah yang mulia ini bahawa responden pertama (Malaysiakini) dan saya sengaja menerbitkan komen tersebut. Ini jelas bukan keadaannya dalam kes ini kerana komen tersebut dibuat oleh pihak ketiga," kata Gan.

Katanya lagi, peguam juga menasihatkan bahawa permohonan kebenaran sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi, bukannya Mahkamah Persekutuan.

"Subjek komen tersebut melibatkan bidang kehakiman secara am dan bukannya mahkamah yang mulia ini (Mahkamah Persekutuan) dan bukan juga keputusan khusus oleh mahkamah yang mulia ini.

"Dengan memfailkan permohonan kebenaran di hadapan mahkamah yang mulia ini, responden telah dengan tidak adil dinafikan hak untuk merayu," katanya lagi.

Menurut salinan surat daripada Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan bertarikh 24 Jun, permohonan Malaysiakini akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 2 Julai ini.

Ketika dihubungi, peguam Malaysiakini Surendra Ananth mengesahkan permohonan tersebut.

Prosiding hina mahkamah terhadap Malaysiakini telah menarik perhatian beberapa persatuan media, iaitu Pusat Jurnalisme Bebas (CIJ) yang menyuarakan kebimbangan ia akan membawa kepada lebih banyak penapisan media, serta Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang berkata tindakan itu boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap badan kehakiman dan kerajaan.

ADS