Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Galah 100 jengkal’: Anwar sindir siapa pula?
Diterbitkan:  Jun 25, 2020 12:39 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Sebelum ini mencantas buluh, sekarang tentang galah kait kelapa muda.

Apa saja perkongsian Presiden PKR Anwar Ibrahim di alam maya pasti mengundang pelbagai tafsiran pengikutnya di media sosial.

Semalam, ketika hubungan Anwar dan Dr Mahathir Mohamad dikatakan semakin tegang, beliau sempat berkongsi gambarnya mengait dan meneguk air kelapa muda.

“Galah seratus jengkal kait kelapa muda. 

"Berbudi dengan tanah badan segar ceria,” tulisnya di Facebook.

Beliau turut berkongsi empat keping gambar bersama dua video mengait kelapa dan video ketika buah kegemaran rakyat Malaysia itu gugur ke tanah.

Anwar tidak menyebut langsung berkaitan politik.

Bagaimanapun terdapat warga maya melihatnya sebagai sindiran.

“Baik punya perli,” komen seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama "fauzimnm".

Seorang lagi pengguna @gmanwalliey pula cuba mengheret sama anggota parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, yang juga penyokong kuat Mahathir, dalam perbincangan di bebenang itu.

“@maszlee minta tolong karangkan sebuah certot (cerita kontot) berdasarkan gambar tersebut,” sindirnya terhadap bekas menteri pendidikan yang pernah terkenal dengan penganjuran certot bertemakan Sayangi Malaysiaku, dua tahun lalu.

Maszlee pada 12 Jun lalu menulis di Facebook berkaitan kepentingan kerjasama Anwar-Mahathir untuk mengambil alih semula tampuk kepimpinan negara.

Beliau menggunakan analogi ikon PAS allahyarham Nik Aziz Nik Mat ketika parti itu bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 (kini dibubarkan), PKR dan DAP ketika pentadbirannya di Kelantan.

“Beginilah, umpama kita nak kait rambutan. Pokok rambutan tinggi. Galah kita tak sampai. Kalau kita cari sejengkal lagi galah, sambung dengan galah kita, Insha-Allah satu pokok rambutan kita boleh kait. 

"Galah sejengkal inilah yang membantu kita dapat banyak lagi hasil,” tulis Maszlee, memetik Nik Aziz.

Maszlee Malik

Maszlee mencadangkan perkara sama dilakukan Anwar dan Mahathir untuk mencapai angka cukup membentuk kerajaan dengan menggabungkan galah sejengkal masing-masing.

Bagaimanapun, tulisannya itu mendapat reaksi negatif pemimpin dan penyokong PKR kerana turut berkata jawatan perdana menteri kesembilan bukan hak mutlak Anwar, atas dasar nombor.

Pakatan Harapan (PH) kini mempunyai anggota parlimen pembangkang paling ramai dalam Dewan Rakyat berbanding sekutunya Warisan dan kumpulan pro-Mahathir.

Mahathir dilaporkan mahu menjadi perdana menteri sekali lagi dalam tempoh singkat sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada Anwar.

PKR menolaknya, walaupun terbuka untuk kerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk Mahathir.

Ia terus menyebabkan kebuntuan berpanjangan dalam gabungan pembangkang.

Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar Cina Sin Chew Daily kelmarin, Mahathir berkata beliau akan menamatkan kerjasama dengan Anwar jika kebuntuan berhubung calon perdana menteri PH Plus tidak dapat diselesaikan.

Lihat Komen
ADS