6 kes baru, hanya 1 penularan tempatan
Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan enam kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah terkumpul yang dicatatkan adalah sebanyak 8,231 kes.
Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baru itu terdiri daripada lima kes import dan hanya satu kes jangkitan tempatan.
Daripada lima kes import, empat melibatkan warganegara Malaysia dan seorang merupakan bukan warganegara yang dibenarkan masuk atas urusan kerja.
Kes jangkitan tempatan melibatkan warganegara Malaysia yang dikesan melalui saringan di tempat kerja.
Kesemua mereka sudah diasingkan dan kini sedang menerima rawatan.
Sementara itu, 23 lagi dilaporkan sembuh, menjadikan jumlah yang pulih dari jangkitan wabak itu adalah 8,294 atau 96.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.
Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 191 kes.
Dua pesakit kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
Noor Hisham juga hari ini memaklumkan bahawa buat hari ke-12 berturut-turut, tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes.
Selain itu, Noor Hisham berkata kadar penyembuhan kes Covid-19 di Malaysia (iaitu 96.4 peratus) adalah di antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.
Selain itu, katanya, kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia juga merupakan di antara yang paling rendah di seluruh dunia (iaitu 1.41 peratus). Tiada kes kematian.

