PBT di Perak diminta keluarkan lesen harian kepada penjaja, peniaga kecil
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak disaran mengeluarkan lesen perniagaan secara harian kepada penjaja dan peniaga kecil bagi menjimatkan kos mereka sepanjang tempoh mencabar ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata sistem seumpama itu telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Manjung sejak 21 Mei lepas.
Menerusi lesen harian, penjaja hanya perlu membayar untuk hari-hari mereka berniaga dan pembayaran boleh dibuat dalam talian, sekali gus memudahkan golongan ini, kata Nolee Ashilin yang ditemui pemberita selepas merasmikan Siri Video Seni Kreatif 'START', satu projek siri dokumentasi terbitan Koloni Karyawan Amanjaya (PORT), di Ipoh, Perak, hari ini.
Inisiatif sama turut disaran Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Johor semalam yang meminta kerajaan negeri dan PBT mengambil langkah lebih proaktif bagi memudahkan urusan perniagaan di kawasan masing-masing, termasuk mempercepat pengeluaran lesen perniagaan.
Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata berdasarkan amalan sekarang, peniaga perlu membayar lesen secara bulanan atau tahunan yang memerlukan mereka membayar caj lebih mahal secara sekali gus.
Mengenai projek dokumentasi 'START', Nolee Ashilin berkata projek tersebut mengetengahkan hasil kerja penggiat seni kreatif negeri Perak dalam bentuk wawancara, demonstrasi dan tutorial bagi mencari kaedah dan hala tuju baharu demi mendepani cabaran Covid-19.
Katanya projek itu bertujuan memberi pendedahan kepada khalayak ramai mengenai kegiatan seni kreatif, selain membantu mempromosi hasil kerja dan khidmat para penggiat seni negeri ini secara dalam talian.
Beliau berkata bagi fasa pertama, sebanyak 10 video dokumentasi diterbitkan hasil kerjasama START dan Tourism Perak, Kraftangan Perak dan Digital Perak.
"Impak daripada musibah Covid-19 turut merangkumi bidang seni kreatif yang selama ini banyak menyokong ekosistem sektor pelancongan negeri. Justeru, pihak PORT akan sama-sama membantu menyemarakkan lagi kegiatan seni walaupun mungkin terbatas untuk tontonan dalam talian buat masa ini.
"Video pertama yang dimuat naik bertajuk 'Penghasilan Sampul dan Kad Raya' berjaya menarik 25,000 tontonan setakat ini," katanya.
-Bernama

