Sarawak akan melakukan ujian saringan jangkitan Covid-19 secara rawak di tapak pembinaan di kawasan bandar seluruh negeri ini mulai minggu depan, kata Timbalan Ketua Menterinya, Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata saringan itu dibuat berikutan kemunculan kes positif Covid-19 membabitkan dua pekerja warga Indonesia dan seorang rakyat tempatan yang juga penyelia mereka di sebuah tapak pembinaan di sini ini baru-baru ini.

"Kami juga akan memutuskan sama ada polisi membabitkan pekerja tapak pembinaan di Sarawak (yang diterima pakai) sekarang perlu dinilai semula berdasarkan hasil ujian ini nanti," katanya selepas bersama-sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dr Sim Kui Hian meninjau pelaksanaan Covid Trace di sebuah kompleks membeli-belah di Kuching, Sarawak.

Katanya jika ada kes pekerja positif dijangkiti Covid-19 melalui ujian rawak itu, tapak pembinaan tempat mereka bekerja akan terus ditutup sementara, bagi membolehkan keadaan pekerja yang lain dan juga penduduk berhampiran tapak terbabit diperiksa.

"Di Kuching, ada tempat pembinaan yang berdekatan kawasan perumahan dan juga rumah ibadat. Jadi kalau ada kes (positif), pasukan (pengesanan) akan melakukan program pengesanan kenalan secara lebih intensif," katanya.

Uggah berkata Ketua Menteri, Patinggi Abang Johari Tun Openg turut meminta JPBN memperluaskan lagi tumpuan mereka untuk membendung penularan Covid-19 di negeri ini ke tapak pembinaan.

"Ketua Menteri juga meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembinaan rumah pekerja di tapak pembinaan kerana ada yang dibina terlalu sempit," katanya.

Uggah berkata SOP terbabit akan memastikan jarakan sosial diambil kira dalam pembinaan rumah pekerja di tapak pembinaan projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau juga menegaskan majikan perlu membayar kos kuarantin selama 14 hari dan ujian pengesanan Covid-19 bagi pekerja warga asing yang dibawa mereka masuk kembali bekerja di negeri ini.

"Kuarantin di hotel, kosnya RM150 sehari dan ujian pengesanan Covid-19 adalah sekitar RM300 seorang," katanya.

-Bernama