Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: 18 kes baru hari ini, termasuk 1 kes di penjara
Diterbitkan:  Jun 28, 2020 6:19 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan 18 kes baru Covid-19, termasuk seorang banduan di Sabah yang dikesan selepas menjalani ujian saringan sebelum dibebaskan daripada hukuman.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baru hari ini melibatkan empat kes import dan 14 penularan tempatan.

Kes import melibatkan tiga warga Malaysia dan seorang yang berstatus penduduk tetap.

"Daripada 14 kes penularan tempatan, semua kes adalah di kalangan bukan warga," katanya.

Daripada jumlah itu, sembilan kes melibatkan kluster kilang di Pedas, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, penularan berkaitan kluster yang mula dikenal pasti pada awal Mei itu berjaya dikawal dengan semua pekerja telah diasingkan dan kes baru yang dikenal pasti di kalangan mereka yang menjalani kuarantin.

Dua lagi kes dikesan di Selangor, melibatkan dua tahanan di pusat tahanan Imigresen di Sepang.

Dua lagi kes dikesan di Sabah, melibatkan banduan yang akan dibebaskan dan seorang pesakit dengan jangkitan severe respiratory acute infection (SARI).

Kes baru terakhir pula melibatkan seorang pekerja tapak pembinaan di Kuala Lumpur.

Kes baru hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 kepada 8,634 kes.

Noor Hisham berkata, hari ini seramai 10 pesakit lagi telah sembuh dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah pesakit sembuh kepada 8,318 orang atau 96.3 peratus daripada keseluruhan kes.

Setakat ini, seramai 195 orang masih dalam rawatan dengan dua daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.

Tiada kematian baru dilaporkan hari ini.

Menurut Noor Hisham, setakat semalam, sebanyak 60,298 pekerja asing telah menjalani ujian saringan, dengan 2,575 daripadanya - atau 4.3 peratus - didapati positif Covid-19.

Katanya, seramai 105 warga asing masih dalam rawatan manakala 2,465 orang telah sembuh. Sebanyak lima kematian melibatkan warga asing.

 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS