mk-logo
Berita
K'jaan akan bina pusat kajian, ujian persenjataan RM60 juta di Kuala Chini
Diterbitkan:  Jun 28, 2020 10:52 PM
Dikemaskini: 2:52 PM

PRK CHINI | Projek pembinaan pusat kecemerlangan persenjataan bernilai RM60 juta di Kampung Bukit Cempedak Bintang, Kuala Chini dekat Pekan yang diluluskan beberapa tahun lepas kini dalam proses tender, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata projek Pusat Ujian Tropika dalam mukim Penyor itu telah diluluskan beberapa tahun lepas oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu, iaitu RM40 juta untuk kos pembangunan manakala RM20 juta lagi untuk peralatan.

“Kita (Kementerian Pertahanan) dalam proses untuk tender (projek itu),” katanya ketika ditemui pemberita selepas program ramah mesra bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kawasan Chini di Bandar Dara Chini, dekat Pekan, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pekan Najib Razak, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Mejar Jeneral Dzulkarnain Ahmad dan calon BN bagi PRK DUN Chini Mohd Sharim Md Zain.

Dalam proses tender

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata tujuan pembinaan tapak kecemerlangan persenjataan itu adalah bagi membuat percubaan dari segi kesesuaian berdasarkan cuaca negara ini terhadap kenderaan dan peralatan ketenteraan yang dibeli oleh Kementerian Pertahanan.

“Ia (projek) lulus bukan kerana pilihan raya (kecil Dewan Undangan Negeri Chini) ini. Saya umum untuk memaklumkan status projek tersebut. Orang sini (Chini), orang Pekan pun dah tahu (mengenai projek ini) dan perkara ini telah diumumkan dulu.

“Kini bajetnya telah dapat, cuma dalam proses tender dan bila dah ditutup (tender), kita akan anugerahkan tender itu dan bermulalah kerjanya,” katanya.

Ismail Sabri bagaimanapun tidak menjelaskan bila projek itu dijangka bermula.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim dan dua calon bebas Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

- Bernama

 


Lihat Komen
ADS