MOTAC kenal pasti 37 NGO layak terima bantuan kewangan
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenal pasti 37 badan bukan kerajaan (NGO) yang layak dipertimbangkan untuk tujuan pemberian bantuan kewangan pentadbiran berjumlah RM318,000.
Ketua Setiausaha MOTAC, Dr Noor Zari Hamat berkata dengan situasi Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP), bantuan itu boleh digunakan untuk menampung pembayaran utiliti selain memulakan kegiatan sepatutnya bagi menambah dana persatuan.
“Ini untuk membantu NGO untuk bergerak kerana kebanyakan daripada mereka agak terjejas ekoran pandemik Covid-19. Ini sebagai permulaan sahaja... kita dah kenal pasti 37 NGO, jadi bantuan ini akan membolehkan NGO memulakan aktiviti mereka dan kembali giat dalam aktiviti masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan (Pentadbiran) kepada NGO di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Noor Zari menyerahkan bantuan kepada 19 wakil NGO yang dijemput setelah mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti dan kebolehadiran penerima khususnya di sekitar Lembah Klang.
Seorang daripada penerima bantuan, Siti Rohayah Attan yang juga Pengerusi Persatuan Generasi Seni Malaysia, berterima kasih dengan bantuan yang diberikan dan akan memanfaatkan bantuan itu untuk memulakan program yang bersesuaian.
“Ini bantuan pengurusan yang pertama (kita) dapat daripada MOTAC. Terima kasih, ia dapat meringankan sedikit beban pengurusan walaupun jumlah tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya ada inisiatif MOTAC untuk bantu NGO.
“Sebagai NGO bila kita tidak ada dana, kita tidak memaksa ahli-ahli untuk bergerak. Jadi selepas ini, mungkin kita akan memulakan gerakan yang bersesuaian dan kalau ada bantuan dana daripada pihak lain, kita akan memulakan program kita seperti pementasan teater dan bengkel penulisan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai permintaan penggiat seni untuk menambah kapasiti penonton bagi pementasan di Istana Budaya, Noor Zari berkata MOTAC akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan isu itu.
“Istana Budaya dah boleh beroperasi balik dalam masa terdekat. Kita meminta supaya Istana Budaya melihat balik event bersesuaian yang terhenti sebelum ini. Isu hari ini kapasiti… bila kita buka balik, penjarakkan sosial akan berlaku jadi mungkin tak boleh menampung jumlah yang besar.
“Setakat ini, asasnya kita ikut garis panduan KKM dan MKN lah. Istana Budaya ini pentas yang menjadi satu ikon kepada teater negara, tapi isu keselamatan yang menjadi keutamaan pada masa ini,” katanya.
-Bernama

