Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib gesa k'jaan dedah hasil siasatan kebakaran HSA pada 2016
Diterbitkan:  Jun 29, 2020 2:36 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Najib Razak menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera mendedahkan laporan berhubung punca kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 2016.

Bekas perdana menteri itu berkata, ia perlu bagi menjawab kritikan pihak tertentu khususnya Pakatan Harapan (PH) yang cuba meletakkan kesalahan kepada PN.

Jelasnya, meskipun laporan berkenaan telah lama siap, namun kerajaan PH sebelum ini gagal untuk mengemukakan laporan berkenaan kepada umum.

"Laporan itu siap pada 6 Jun 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan diserahkan kepada kerajaan PH di bawah perdana menteri ketujuh (Dr Mahathir Mohamad).

"Masa menyerah laporan, pengerusi jawatankuasa mendesak kerajaan PH untuk mengumumkan dan mendedahkan laporan tersebut.

"Namun, pada bulan Nov 2018, menteri kesihatan PH kata laporan tersebut masih tidak boleh didedahkan kerana memerlukan kebenaran kabinet PH," tulis Najib di Facebooknya, hari ini.

Katanya lagi, selepas setahun kerajaan PH masih gagal mendedahkan laporan berkenaan sehinggalah tumbang.

"Pada pendapat saya, kerajaan PN perlu dedahkan laporan tersebut serta-merta kerana laporan dah lama siap," tambah Najib lagi.

Pada bulan Okt 2016, enam nyawa terkorban dalam tragedi kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA pada tahun 2016.

Susulan itu, pada bulan Nov 2016, kerajaan BN di bawah pimpinan Najib menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mencari punca kebakaran.

Laporan berkenaan siap pada 6 Jun 2018. Untuk rekod, BN tumbang dalam PRU14 pada 9 Mei 2018.

Semalam wad perubatan perempuan HSA terbakar dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang.

Bagaimanapun tidak kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian terbaru itu.

Sebelum ini, wakil rakyat DAP Teng Chang Khim turut mendesak kerajaan PN untuk dedahkan hasil siasatan dan perbincangan jawatankuasa khas berhubung kebakaran yang berlaku pada 2016 itu.

Dalam pada itu, Najib turut merayu pihak polis serta peguam negara supaya tidak mengambil tindakan yang drastik ke atas ketua pengarang portal berita kesihatan CodeBlue, Boo Su-Lyn.

Boo disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung artikel yang berkaitan dengan kebakaran HSA pada 2016.

Najib berkata, Boo dilihat ikhlas untuk menambah baik sistem kesihatan Malaysia.

"Tahun lepas, Boo juga pernah banyak kali mengecam skim MySalam yang merupakan projek kesayangan menteri kewayangan PH bersama syarikat Insurans milik penuh Singapura kerana pulangan projek itu tak masuk akal dan banyak merugikan negara.

"Boo tulis tentang laporan HSA sejak tahun 2019 sehingga bulan Mac 2020 lalu kerana dia tidak mahu tragedi kebakaran untuk berulang.

"Malangnya, kebakaran HSA berlaku sekali lagi," kata Najib.

Lihat Komen
ADS