Covid-19: 16 kes sembuh hari ini, 3 kes baru
Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat tiga kes baru Covid-19 hari ini, dengan satu daripadanya melibatkan warga Malaysia yang dijangkiti di luar negara.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, dua lagi kes melibatkan warga tempatan melibatkan kes saringan praprosedur bagi rawatan barah di Selangor, dan kes saringan di pasar di Sandakan, Sabah.
Kes import tersebut memiliki sejarah perjalanan ke Fiji dan New Zealand tetapi dinafikan kemasukan ke kedua-dua negara. Dia kemudian transit ke Singapura untuk pulang ke Malaysia.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 setakat ini adalah 8,637 kes.
Noor Hisham juga memaklumkan seramai 16 pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah pesakit sembuh kepada 8,334 orang iaitu 96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Tiada kematian dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah korban kekal 121 orang, atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 182 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," kata Noor Hisham ketika sidang media di Putrajaya hari ini.
Daripada jumlah itu, empat pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata sebanyak 5,407 ujian swab Covid-19 dilakukan semalam.
Kapasiti maksimum ujian itu di 55 makmal kerajaan dan swasta adalah 36,812 ujian sehari.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

