K'jaan aktifkan semula MySPC, selaras agenda perlindungan sosial
Kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) bagi menyelaras agenda kesejahteraan sosial secara menyeluruh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.
Dalam satu kenyataan, Mustapa berkata dasar perlindungan sosial yang lebih dinamik dan komprehensif diperlukan bagi melindungi pekerja terutama di sektor tidak formal.
"Sebagai contoh, program perlindungan sosial sedia ada seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hanya melindungi pekerja di sektor formal tetapi sebahagian besar daripada 2.7 juta pekerja di sektor tidak formal masih tidak dilindungi.
"Selain itu juga, berdasarkan trend peralihan demografi semasa, Malaysia dijangka mencapai status negara tua pada tahun 2030 dengan 15.3 peratus penduduk berumur 60 tahun dan ke atas.
"Keadaan ini memerlukan negara menyediakan satu sistem perlindungan sosial yang lebih dinamik agar rakyat memiliki simpanan yang mencukupi bagi menampung kehidupan mereka sepanjang tempoh persaraan," katanya.
Mustapa berkata keputusan mengaktifkan semula MySPC dibuat semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi EAC kali ke-13 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
"Mesyuarat memutuskan agar MySPC yang diaktifkan semula akan merangkumi empat teras strategik – bantuan sosial, insurans sosial, intervensi pasaran buruh serta data dan tadbir urus.
"Penambahbaikan ini bertujuan mempertingkatkan perlindungan keselamatan sosial rakyat di setiap peringkat hayat mereka di samping memperluaskan liputan perlindungan sosial kepada setiap warga Malaysia, dan memastikan tiada sesiapa pun yang dipinggirkan," kata Mustapa.
MySPC ditubuhkan pada tahun 2016 dengan objektif serupa.
Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, MySPC dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pada masa itu, MySPC merangka Dasar Perlindungan Sosial Kebangsan agar selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Sementara itu, Mustapa berkata Sekretariat bersama EAC di bawah Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan banyak sesi libat urus dengan pemegang taruh terutamanya sektor swasta untuk mengenal pasti isu yang dihadapi.
Beliau berkata, ini termasuklah dewan perniagaan, persatuan, badan profesional serta pemain daripada 27 industri merentasi semua sektor seperti ekonomi digital, pendidikan, pelaburan, pembuatan, perusahaan kecil dan sederhana, pelancongan, pengangkutan dan kesihatan.

