Malaysiakini
BERITA

Polis terima 21 laporan berkenaan buku didakwa hina Jata Negara

Bernama

Diterbitkan

Polis telah menerima 21 laporan polis yang dibuat pelbagai pihak berhubung sebuah buku yang didakwa mereka menghina Jata Negara.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata susulan itu, pihaknya membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat menurut beberapa akta termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata beberapa individu termasuk pengarang, penerbit dan mereka yang mempunyai kaitan atau terbabit dalam penghasilan buku itu akan dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan serta membantu siasatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga sedang menyiasat kaedah edaran buku terbabit termasuk kemungkinan dijual dalam talian.

Hari ini, tular di media sosial sebuah buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia' yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka depan.

Antara kandungan laporan polis yang dibuat oleh individu dan badan bukan kerajaan (NGO) itu ialah imej yang digunakan untuk muka depan buku tersebut seolah-olah merendahkan martabat serta menghina lambang rasmi kedaulatan negara.

- Bernama  

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.