Malaysiakini
BERITA

Bekas CEO setuju penstrukturan semula untuk perdaya lembaga pengarah 1MDB

Hidir Reduan Abdul Rashid

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Jun 2020, 7:09 pagi

Bekas ketua pengarah eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi setuju bahawa penstrukturan semula usaha sama syarikat itu dengan Petrosaudi International (PSI) bertujuan untuk memperdaya lembaga pengarah 1MDB.

Shahrol berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan rasuah RM2.28 bilion melibatkan dana 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata dia mendapat kesimpulan itu setelah melihat kembali apa yang berlaku.

Shafee: Semua penstrukturan semula ini, ideanya untuk menyukarkan ahli lembaga mengetahui nilai sebenar pelaburan.

Shahrol: Ya.

Shafee: Adakah anda kini berpuas hati bahawa ia mekanisme untuk mempedaya lembaga pengarah agar percaya pelaburan masih baik?

Shahrol: Secara hindsight, ya.

Shafee kemudian mencadangkan bahawa jika seluruh lembaga pengarah boleh diperdaya, perkara sama dapat berlaku kepada Najib.

"Bolehkah perdana menteri atau menteri kewangan berada dalam kedudukan yang lebih bijak berbanding lembaga?" soal Shafee.

Shafee Abdullah

Shahrol menjawab: "Saya tidak boleh beri komen kerana tidak tahu sama ada perdana menteri atau menteri kewangan ada akses terhadap maklumat ketika itu atau tidak."

Najib merupakan perdana menteri dan menteri kewangan dari 2009 hingga 2018.

Shafee memetik saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkenaan 1MDB yang mengatakan pelbagai penstrukturan semula bertujuan "memudahkan tindakan mengaburkan nilai pelaburan 1MDB dalam usaha sama".

Menurut DOJ, 1MDB telah melaburkan AS$1.83 bilion (RM7.83 bilion) dalam usaha sama dengan PSI tetapi AS$1.03 bilion (RM4.41 bilion) telah dipindahkan ke Good Star Limited untuk ahli perniagaan Low Taek Jho dan sekutunya antara 2009 dan 2011.

Saham usaha sama itu kemudian ditukar kepada nota jangka sederhana Islam yang menurut DOJ "bernilai kira-kira AS$2.22 bilion (RM9.5 bilion), meskipun dengan hakikat bahawa sekurang-kurangnya AS$1.03 bilion (RM4.41 bilion) telah dialihkan daripada pelaburan yang dinyatakan 1MDB dalam usaha sama itu".

Pada 2012, 1MDB menukar nota jangka sederhana Islam untuk 49 peratus pegangan dalam Petrosaudi Oil Services Limited yang dikatakan bersamaan dengan AS$2.22 bilion (RM9.5 bilion) walaupun asetnya pada masa itu hanya AS$93.6 juta (RM406 juta).

Pegangan itu kemudian dijadikan "unit dana" dalam Bridge Global Absolute Return Fund SPC, yang didaftarkan di Cayman Islands dan diuruskan Bridge Partners.

1MDB mendakwa ia bernilai AS2.318 bilion (RM9.9 bilion) tetapi DOJ berkata ia "secara relatifnya tiada nilai".

Pada masa itu, syarikat milik Kementerian Kewangan itu ditekan untuk membawa pulang pelaburannya ke Malaysia.

Berkenaan unit dana, Shafee bertanya sama ada ia bertujuan mengaburi lembaga pengarah agar mereka tidak tahu nilai sebenar. Shahrol bersetuju dengan kenyataan itu.

Shafee: Pelaburan AS$2.22 bilion (ditukar) kepada AS$2.318 bilion untuk terus mengaburi lembaga agar menganggap ia di landasan yang betul.

Shahrol: Secara hindsight, ya.

Shafee: Anda tidak terlibat dalam perbincangan?

Shahrol: Tidak.

Shahrol meletakkan kebanyakan kesalahan kepada pegawai perundangan 1MDB Jasmine Loo Ai Swan yang didakwa menjadi operator bagi Jho Low.

Dia juga sekali lagi berkata dia setuju dengan apa yang Jho Low mahukan kerana percaya ia atas kebenaran Najib.

"Saya percayakan mereka," kata Shahrol.

Shafee kemudian mengecam Shahrol kerana berulang kali menyalahkan Low dan Jasmine.

Shafee: Saya keliru. Siapa CEO 1MDB? Anda atau Jasmine?

Shahrol: Saya bertindak berdasarkan nasihat Jasmine. Dia bertanggungjawab dalam penstrukturan semula.

Shafee: Anda ketua pengurusan. Anda CEO. Saya katakan anda dan Jho Low merancang pelan pelaburan ini. Setuju?

Shahrol: Tak setuju.

Shafee sekali lagi mengecam Shahrol kerana tidak mengambil tanggungjawab terhadap urus niaga itu.

"Saya katakan anda tidak begitu naif dan cuai. Usaha sama ini antara anda dan Jho Low," katanya.

Shahrol sekali lagi mengatakan ia tidak benar.

[Baca berita asal]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.