Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah benarkan lucut hak lebih RM200,000 dari bekas MP Umno

Wang berjumlah RM265,146.16 yang dibekukan daripada akaun bank milik bekas Ahli Parlimen Paya Besar Umno, Allahyarham Abdul Manan Ismail yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini menjadi harta kerajaan Malaysia.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan hari ini, yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak harta tersebut.

Permohonan melucut hak itu dibuat pihak pendakwaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Wang berkenaan dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nik Haslinie Hashim dan Maziah Mohaide hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri mewakili balu Allahyarham Abdul Manan, Rohiza Ahmad, 67, dan enam anaknya yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Mahkamah sebelum ini membenarkan pihak pendakwaan untuk meminda nama Abdul Manan kepada nama Rohiza dan enam anak Allahyarham sebagai benefisiari harta pusaka si mati di dalam notis usul pelucut hak harta tersebut.

Enam anak Allahyarham ialah Rozeeyana, 44, Rozeeyani, 41, Rozeeyati, 39, Rozeeyadi, 37, Rozeeta, 35, dan Muhammad Hannan, 32.

-Bernama

Lihat Komen
ADS