Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN | Pada bulan Julai ini, kerajaan Israel di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu merancang untuk merampas lagi wilayah Palestin di Tebing Barat walaupun langkah ini menyalahi undang-undang antarabangsa.

Sebenarnya rancangan kerajaan Israel ini tidaklah memeranjatkan sangat.

Bahkan ia memang menjadi sebahagian daripada objektif utama golongan Zionis semasa mereka menubuhkan negara haram Israel pada tahun 1948. 

Bagi mereka, penubuhan negara tersebut tidak sempurna jika seluruh Tebing Barat (yang diberi nama Judea and Samaria oleh mereka) tidak di bawah kawalan mereka sepenuhnya.

Hakikatnya ialah semua langkah-langkah yang diambil oleh Israel semenjak penubuhannya adalah menjurus kepada usaha merampas keseluruhan Tebing Barat. 

Perkara ini mudah difahami jika kita lihat bagaimana pihak Zionis mengadakan perjanjian damai Oslo 1993 dan selepas itu membenarkan penempatan haram Zionis di Tebing Barat bertambah pada masa yang sama, walaupun langkah itu bertentangan dengan perjanjian tersebut.

Perancangan jahat pihak Zionis ini mendapat suntikan tenaga baru apabila Presiden Donald Trump mengumumkan rancangan Deal of The Century baru- baru ini. 

Bawah rancangan tersebut Israel diberi kebenaran mengambil alih dan mengawal sepenuhnya 30 peratus dari Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan sebagai harga yang perlu dibayar oleh pihak Palestin untuk mewujudkan sebuah negara mereka sendiri. 

Perlu dinyatakan negara Palestin yang ditawarkan adalah tidak masuk akal, kerana ia terdiri daripada kawasan-kawasan kecil yang terpisah-pisah (disebut sebagai bantustan) dan dihubungkan dengan semenanjung Gaza dengan satu terowong.

Rancangan ini sudah tentu amat merugikan pihak Palestin dan sangat menguntungkan pihak Israel. 

Maka tidak hairan kenapa Presiden Trump, yang sekarang ini sangat tidak popular di kalangan rakyat Amerika Syarikat, sebaliknya adalah sangat popular di kalangan rakyat Israel.  Lebih 70 peratus daripada mereka memandang tinggi kepada beliau.

Mereka yang tidak memahami sejarah fahaman Zionis dan sejarah penubuhan negara haram Israel akan sentiasa berasakan bahawa suasana damai antara Palestin dan Israel mungkin berlaku jika kedua-dua pihak adalah serius. 

Namun sesiapa yang memahaminya akan sedar bahawa pihak Zionis Israel adalah tidak berminat dengan perdamaian. 

Sebenarnya apa yang mereka mahu ialah terus memiliki Baitul Muqaddis, serta mengawal seratus-peratus sebahagian besar dari Tebing Barat dan juga Lembah Jordan. 

Mereka juga mahu memastikan pihak Palestin dalam keadaan yang semakin lemah dan tidak mampu menyekat perancangan jahat mereka.

Semua ini sudah wujud dalam kefahaman golongan Zionis dan menjadi wawasan mereka semenjak dari penubuhan negara haram Israel.

Cuma ia tampak semakin jelas apabila pihak golongan kanan di kalangan masyarakat Zionis Israel menjadi lebih berpengaruh pada akhir dekad 70-an dan menyuarakan hasrat mereka secara terbuka. 

Bukti kepada semua ini ialah usaha yang lebih gigih untuk mewujudkan penempatan-penempatan Yahudi di Tebing Barat, di atas tanah yang dirampas dari rakyat Palestin, iaitu satu usaha yang mendapat sokongan daripada kebanyakan rakyat Israel tanpa mengira sama ada mereka adalah beragama Yahudi atau sekular. 

Mereka hanya berselisih pendapat tentang masa yang paling sesuai untuk Israel merampas tanah-tanah Palestin di Tebing Barat secara formal.

Dengan terlantiknya Presiden Trump dan dengan pengumuman Deal of the Century oleh beliau, maka bagi pihak Zionis, masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. 

Israel sekarang berasakan bahawa adalah selamat untuk melakukan rampasan wilayah Tebing Barat secara formal kerana pihak kerajaan Trump yang telah mengiktiraf langkah Israel merampas keseluruhan Baitul Maqdis serta Bukit Golan (Golan Heights) sebelum ini, juga akan bersedia menyokong langkah rampasan tersebut.

Bagi Benjamin Netanyahu pula, langkah merampas Tebing Barat adalah penting bagi beliau secara peribadi. 

Ini kerana beliau akan dilihat sebagai pemimpin Israel yang paling berjaya dalam usaha mewujudkan `Israel Raya’ (Greater Israel). 

Pada masa yang sama, kejayaan ini mungkin akan membantu beliau melepaskan diri dari tuduhan salah guna kuasa dan korupsi yang dalam proses perbicaraan di mahkamah Israel sekarang ini.

Oleh kerana apa yang dirancang di atas adalah bertentangan dengan undang- undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sepatutnya masyarakat antarabangsa akan berupaya menyekatnya. 

Namun malangnya pendirian masyarakat antarabangsa berkenaan isu ini juga agak lemah kerana banyak kerajaan sedang menghadapi masalah politik dan kewangan dalaman akibat pandemik Covid-19. 

Tambahan pula beberapa negara Arab terutama sekali UAE adalah cenderung untuk bekerjasama dengan Israel dan mengadakan normalisasi hubungan dengan Israel kerana mereka merasakan Israel dan Amerika akan membantu kerajaan mereka dalam menghadapi ancaman dari Iran serta ancaman dari golongan prodemokrasi di dalam negara mereka sendiri terutama dari kumpulan Ikhwanul Muslimin.

Pada bulan Julai, Benjamin Netanyahu berkemungkinan akan membentangkan rancangan kerajaannya untuk merampas wilayah Palestin kepada parlimen

Israel (Knesset) untuk kelulusan. Kerajaan Amerika di bawah kepimpinan Trump dijangka akan mengiktiraf keputusan Knesset itu nanti, tanpa mengira sama ada pihak Palestin di bawah pimpinan Mahmud Abas atau di bawah pimpinan Ismail Haniyeh bersetuju atau tidak dengan keputusan tersebut.

Oleh itu adalah penting bagi masyarakat antarabangsa terus menentang rancangan Israel untuk merampas wilayah Palestin. 

BDS Malaysia mengajak rakyat Malaysia bersama dengan Gerakan BDS antarabangsa dalam usaha meyakinkan kerajaan di seluruh dunia untuk terus memboikot Israel.

Gerakan BDS antarabangsa dan Gerakan Global South telah mengeluarkan satu kenyataan terbuka mengutuk perancangan jahat kerajaan Israel untuk merampas wilayah Palestin serta polisi Apartheid yang diamalkan olehnya terhadap rakyat Palestin.

Alhamdulillah BDS Malaysia telah berjaya mengumpulkan sokongan kepada kenyataan Global South ini daripada puluhan ahli akademik bertaraf profesor dari beberapa universiti di Malaysia, serta pengerusi kepada puluhan NGO di Malaysia, serta puluhan ahli Parlimen dari berbagai parti politik. 

Adalah diharapkan usaha ini akan membantu mengekalkan polisi terpuji kerajaan Malaysia untuk terus tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan memboikotnya sehingga tiga tuntutan di bawah di penuhi:

1. Israel mesti menghentikan serta merta polisi menduduki sebarang wilayah Palestin di Tebing Barat serta polisi kejamnya mengepung Gaza.

2. Israel mesti membenarkan semua pelarian Palestin pulang ke tanah air mereka selaras dengan resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang telah diluluskan sejak tahun 1948.

3. Israel mesti memberikan hak sama rata dan keadilan sepenuhnya kepada rakyat Palestin yang menjadi warganegaranya.


PROFESOR MOHD NAZARI ISMAIL ialah pengerusi Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS