Malaysiakini
BERITA

Salleh mohon sertai semula Umno - Bung Moktar

Bernama

Diterbitkan

Umno Sabah sudah menerima surat permohonan bekas Bendahari Umno Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk menyertai semula parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata surat permohonan Salleh itu diterima Umno Sabah satu atau dua minggu lepas.

“Umno sudah pun menerima permohonan (Salleh) secara rasmi dan saya telah memanjangkannya (permohonan) itu kepada Majlis Tertinggi Umno untuk dipertimbangkan dan diperhalusi …(sedang dalam) proses diberi pertimbangan dan kelulusan.

“Umno Sabah terbuka iaitu kita membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli dan pemimpin daripada mana-mana parti termasuk daripada Umno dahulu yang ingin kembali (menyertai Umno semula), kita terima,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Kinabalu, hari ini.

Terdahulu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menerusi catatan dalam blog beliau sallehsaid.com memaklumkan bahawa beliau telah membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR.

Beliau mengambil keputusan itu pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas beliau bersama sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah meninggalkan parti pada Disember 2018.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.