Kes arsenik: Lapan aktivis reformasi dibebaskan
Lapan aktivis reformasi termasuk dua pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan Mohd Ezam Mohd Nor dibebaskan tanpa perlu membela diri oleh Mahkamah Magistret Kuala Lumpur hari ini dari tuduhan berhimpun secara haram tujuh tahun lalu.
Lapan aktivis reformasi termasuk dua pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan Mohd Ezam Mohd Nor dibebaskan tanpa perlu membela diri oleh Mahkamah Magistret Kuala Lumpur hari ini dari tuduhan berhimpun secara haram tujuh tahun lalu.
Semua mereka didakwa menyertai perhimpunan haram membantah perbuatan 'meracun' bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan racun arsenik semasa dalam tahanan pada tahun 1999.
"Setelah mahkamah meneliti kenyataan-kenyataan saksi, didapati pihak pendakwa gagal mengemukakan kes prima facie terhadap semua tertuduh. Dengan itu mahkamah memerintahkan mereka dibebaskan," kata magistret, Azniza Mohd Ali.
Para penyokong PKR dan aktivis reformasi memenuhi mahkamah berkenaan ketika keputusan itu diumumkan.
Azniza membaca keputusan lisan ringkas itu bagi pihak magistret Mohd Khairi Haron yang telah bertukar ke tempat lain.
Selain Azmin (gambar kiri) yang merupakan Naib-Presiden PKR dan Ezam (gambar kanan) yang memegang jawatan Ketua Angkatan Mudanya, tertuduh lain ialah kartunis Zulkiflee SM Anwarulhaque (yang juga dikenali sebagai Zunar), Hishamuddin Rais, Abdul Ghani Haron, Tan Soi Kow, Anuar Zalik dan Zaharuddin Ayob.
Kecuali Hishamuddin, semua tertuduh lain hadir di mahkamah. Hishamuddin, seorang pembikin filem dan kolumnis malaysiakini kini berada di Kedah, menjalankan penggembaraan filem dokumentarinya.
Semua tertuduh diwakili oleh lima orang peguam yang terdiri daripada Amer Hamzah Arshad, CV Prabhakaran, Latheefa Koya, Hasnal Rezua Merican dan Nik Mohamed Ikhwan. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Yusaini Amer Abd Karim.
Semua tertuduh didakwa di bawah seksyen 27 Akta Polis setelah ditahan semasa berhimpun pada 11 September 1999. Perbicaraan kes ini bermula pada tahun 2002.
Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM10,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Ezam yangt ditemui selepas keputusan diumumkan berkata, mahkamah telah membuat keputusan yang tepat dan ini menunjukkan mahkamah negara ini bebas dari campurtangan kerajaan. .
"Ketika pemerintahan Dr Mahathir, campurtangan dalam sistem kehakiman kerap berlaku, hingga merosakkan kewibawaan institusi kehakiman," katanya kepada malaysiakini.
Seorang lagi tertuduh, Abdul Ghani Haron berkata, pembebasan mereka membuktikan segala tuduhan yang dilemparkan kepada mereka ketika itu tidak berasas dan hanya bertujuan menekan pihak pembangkang dan gerakan reformasi. Berita asal

