Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur (KLBC) membantah tindakan polis menahan semula 13 orang tahanan yang ditahan tanpa bicara setelah mereka dibebaskan oleh mahkamah Rabu lalu.

Orang tahanan berkenaan sebelum ini ditahan di bawah Ordinan Darurat tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi permohonan habeas corpus.

Ekoran kejayaan permohonan habeas corpus itu, 13 orang tahanan berkenaan dibebaskan dari pusat tahanan Simpang Renggam Johor pada pukul 6 petang dua hari lalu.

Namun ketika sedang dipindahkan dari dalam pusat tahanan ke pintu utama pusat tersebut, tempat mereka sepatutnya diturunkan dan dibebaskan, semua orang tahanan itu cuba melarikan diri apabila menyedari mereka akan ditahan semula sebaik sahaja dibebaskan.

Lima daripada mereka berjaya meloloskan diri setelah berlaku pergelutan dengan polis dan anggota keluarga orang tahanan berkenaan.

Di dalam pergelutan itu, polis berpakaian biasa yang cuba menghalang orang tahanan melarikan diri telah mencederakan seorang wanita tua yang datang ke situ untuk menjemput balik salah seorang orang tahanan berkenaan.

KLBC yang dianggotai oleh peguam dalam Wilayah Persekutuan turut mengecam polis kerana menggunakan kekerasan terhadap anggota keluarga orang tahanan berkenaan.

Malaysiakini telah memperoleh klip video sepanjang lima minit yang menunjukkan pergelutan tersebut, yang dipercayai dirakam dengan telefon bimbit.

Sementara itu akhbar New Straits Times hari ini memetik kenyataan Ketua Polis Johor, Hussin Ismail yang mendakwa polis hanya mahu menahan lapan orang tahanan berkenaan dan lima orang yang berjaya membebaskan diri itu tidak termasuk dalam senarai penahanan semula.

Bagaimanapun Pengerusi jawatankuasa amalan jenayah KLBC, N Sivananthan, yang juga peguam bagi orang tahanan berkenaan berkata, kenyataan Ketua Polis Johor itu jelas menunjukkan pihak berkuasa tidak mempunyai asas kuat untuk melakukan penahanan semula.

Seorang lagi peguam orang tahanan tersebut, Baljit Singh Sidhu berkata, salah seorang daripada orang tahanan yang melarikan diri itu melakukan kesalahan yang sama dengan salah seorang daripada orang tahanan yang ditahan semula.

"Bagaimana mereka mendakwa mahu membebaskan yang lima orang itu dan mahu menahan lapan yang lain kalau begini keadaannya. Ini jelas menunjukkan mereka tidak mempunyai alasan untuk melakukan penahanan semula selepas mereka dibebaskan secara sah oleh mahkamah," tegasnya.

Menurut Baljit, semua 13 orang tahanan yang ditahan di bawah Ordinan Darurat, undang-undang mirip Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu, melakukan kesalahan jenayah kecil seperti mencuri dan peras ugut.

"Mereka ditahan di bawah ordinan itu kerana tidak mempunyai bukti-bukti kukuh untuk didakwa di mahkamah," katanya.

Di bawah ordinan tersebut, suspek boleh ditahan tanpa bicara selama dua tahun dan boleh disambung lagi selepas tamat tempoh itu. Berita asal