Wanita Umno mahu Nazri disingkir dari Umno
Sebuah cawangan Wanita Umno di bahagian Kubang Pasu mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz disingkirkan dari parti itu.
Sebuah cawangan Wanita Umno di bahagian Kubang Pasu mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz disingkirkan dari parti itu.
Dalam mesyuaratnya, Wanita Umno cawangan Lubuk Kawah meluluskan sebulat suara usul meminta Majlis Tertinggi (MT) memecat Nazri. Cawangan itu mahu menteri tersebut disingkir kerana keceluparan mulut beliau mengkritik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kebelakangan ini.
Nazri pada Isnin lalu menuduh Dr. Mahathir cuba menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau juga telah mencabar Dr. Mahathir bertindak 'jantan' dengan keluar dari Umno.
Dr. Mahathir adalah bekas Ketua Umno bahagian Kubang Pasu dan bekas ahli Parlimen kawasan tersebut sebelum bersara pada pilihanraya umum lalu.
Dr. Mahathir sejak dua bulan kebelakangan ini kuat mengkritik kepimpinan Abdullah berhubung isu permit import (AP) kenderaan, pembatalan projek jambatan indah di Selat Teberau dan penjualan syarikat motosikal MV Agusta.
Beliau tidak berpuas hati dengan penjelasan-penjelasan yang diberikan oleh menteri-menteri berkaitan dan telah menjalankan 'roadshow' di ibunegara bagi menuntut jawapan bagi semua soalan-soalannya.
Abdullah bagaimanapun mengambil sikap 'membisu' dan sekadar mengarahkan para menterinya untuk menjawab semua persoalan tersebut.

