Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyertaan semula Salleh perlu dikaji, kata Umno Kota Belud
Diterbitkan:  Jul 3, 2020 10:53 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Umno Bahagian Kota Belud berpendapat penyertaan semula Salleh Said Keruak ke dalam Umno perlu dikaji dari semua sudut dan didengari oleh suara akar umbi.

Ketua Umno Bahagian Kota Belud Fadli Juanas berkata ini kerana majoriti rakyat masih kecewa dan marah dengan sikap segelintir pemimpin Umno yang sanggup meninggalkan parti selepas kalah dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menerima surat permohonan menyertai semula parti dari Salleh yang merupakan bekas bendahari Umno.

Kata Fadli, pihaknya hanya mengetahui perkara tersebut selepas Pengerusi Badan Perhubungan Sabah Bung Moktar Radin memaklumkannya.

"Setakat ini kami berpendapat kenyataan Bung lebih bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian Umno Sabah secara keseluruhan," katanya lapor BH online.

Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia pernah memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu, selepas beliau bersama sebilangan besar pemimpin Umno Sabah bertindak keluar parti pada Disember 2018, namun membatalkan permohonan tersebut.

Beliau sebelum ini mengesahkan membuat permohonan untuk menyertai Umno pada 26 Mei, melalui Bung Moktar dan perkara tersebut telah disahkan.

Pada 1 Julai, Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata, BN mengambil sikap terbuka dan mengalu-alukan penyertaan semula bekas Salleh ke dalam parti tersebut.

Annuar berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan tentang permohonan tersebut namun individu berkenaan perlu menjalani beberapa proses yang ditentukan pengurusan tertinggi.

Lihat Komen
ADS