Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS saran pemimpin politik negara contohi Muhyiddin
Diterbitkan:  Jul 3, 2020 4:58 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

PAS menyeru pemimpin politik di negara ini agar mencontohi kepemimpinan Muhyiddin Yassin yang dianggap parti itu sebagai dinamik, sistematik dan sejagat.

Ketua penerangannya, Kamaruzaman Mohamad, berkata gaya kepemimpinan perdana menteri Perikatan Nasional (PN) itu mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat negara ini.

Justeru kata Kamaruzaman, PAS mendukung sepenuhnya pemilihan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri buat PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15).

"Kerajaan kini di bawah kepimpinan Muhyiddin perlu diteruskan kerana pemerintahannya yang bercorak dinamik, sistematik dan sejagat mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat," katanya yang dipetik harakahdaily.

Jelas pengerusi baru Majlis Pensijilan Kayu Malaysia itu lagi, sokongan padu diberikan PAS kepada Muhyiddin juga dibuat untuk menyambung polisi kerajaan PN kerana ia memberi impak yang sangat besar kepada negara.

“PAS mendukung sepenuhnya pemilihan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri pasca-PRU15 ini adalah sebagai tanda sokongan padu terhadap PN.

“Kesinambungan kepemimpinan PN yang diterajui Muhyiddin dan menyambung polisi kerajaan PN yang telah dan sedang dilaksanakan sekarang,” katanya lagi.

Calon PM seterusnya

Kenyataan itu dibuat dua hari selepas Muhyiddin mengumumkan pemimpin tertinggi parti dalam kerajaan bersetuju untuk memperkukuhkan persefahaman sesama mereka "demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara."

Antara pemimpin yang hadir dalam pertemuan itu ialah Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Wee Ka Siong (MCA), Vigneswaran Sanasee (MIC), Abang Johari Abang Haji Openg (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), Dr Sim Kui Hian (SUPP), Tiong King Sing (PDP), Dr James Jemut Masing (PRS), Dr Maximus Johnity Ongkili (PBS), Joseph Kurup (PBRS) dan Dr Jeffrey Kitingan (Star).

Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Annuar Musa, berkata keputusan itu dibincang dalam mesyuarat bersama baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kini mendapat sokongan kedua-dua parti Melayu Islam terbesar.

"Untuk pilihan raya akan datang, secara prinsipnya kedua-dua parti telah bersetuju untuk menamakan atau menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin sebagai calon perdana menteri seterusnya," kata Annuar.

Bagaimanapun hasil pertemuan tersebut dilihat ditangani secara berhati-hati oleh beberapa pemimpin kanan Umno. Misalnya Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, yang mencadangkan agar setiap hal yang dibincangkan perlu dirujuk kepada parti untuk dipersetujui.

Pengkritik pula mendakwa pertemuan dengan Muhyiddin tersebut menunjukkan pemimpin bukan Melayu atau bukan Islam kini lebih ramai dalam PN jika dilihat kepada individu yang hadir dalam pertemuan tersebut.

Lihat Komen
ADS