Malaysiakini
BERITA

Kes Zahid: Pengarah syarikat kata cek RM447k untuk bayar gangster

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Jul 2020, 12:17 tengahari

Seorang pengarah syarikat berkata sekeping cek syarikat berjumlah RM447,773.42 kepada akaun pemegang amanah firma guaman Lewis & Co, digunakan untuk membayar gangster yang mengganggu projek pembinaan sebuah jambatan di Klang Selangor.

Pengarah Cergas Murni Sdn Bhd, Paul Latimer memberi keterangan dalam perbicaraan membabitkan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, berkata, cek Maybank bertarikh 29 Mac 2016 itu digunakan untuk membayar wang perlindungan kepada gangster berkenaan.

Bagaimanapun, saksi ke-73 perbicaraan kes pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah membabitkan Ahmad Zahid itu, tidak menjelaskan secara khusus gangster yang dimaksudkan.

Latimer, 79, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Harris bertanya Latimer tentang perenggan kelapan keterangan saksi itu, yang menyatakan cek berjumlah RM447,773.42 diserahkan kepada pengurup wang Omar Ali untuk “menyelesaikan masalah” semasa projek membina Jambatan ke-3 Klang, Selangor, antara tahun 2014 dan 2017. 

Cergas Murni terlibat dalam projek berkenaan.

“Masalah di tapak (pembinaan), kita buat jambatan Klang dan dihalang oleh gangster dan lain-lain. Pakai wang itu untuk selesaikan hal,” kata Latimer.

Saksi itu menjelaskan bahawa selepas perbincangan dengan rakan perniagaannya, mereka memutuskan untuk membuat bayaran berkenaan.

Sebelum itu, pada 16 Jun, dilaporkan bahawa saksi ke-60, Khatijah Sulaiman @ Suleiman, yang juga pengarah Cergas Murni, memberi keterangan bahawa jumlah RM447,773.42 itu merupakan sebahagian daripada tiga keping cek yang berjumlah RM1,011,520, diserahkan kepada Omar pada 2016.

Harris: Apa kaitan projek (pembinaan jambatan) dengan gangster?

Paul: Dalam bandar Klang, pada masa itu, banyak hal dengan gangster (di kawasan) sana. Mereka nak wang perlindungan.

Harris: (Wang) RM447,773.42, apa kaitan dengan ini? Bagaimana wang ini digunakan?

Paul: Guna untuk bayar gangsterlah.

Berdasarkan perenggan kesembilan keterangan Latimer berhubung bayaran RM447,773.42 itu, dia berkata rakan perniagaannya yang mencadangkan bahawa Omar Ali dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Bahagian lain keterangannya turut mengesahkan keterangan terdahulu oleh Khatijah bahawa pembayaran dibuat adalah sebanyak RM1 juta lebih.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Rosal Azimin Ahmad, Latimer menjelaskan hanya sebahagian daripada RM 1 juta itu  dalam tiga cek digunakan untuk menyelesaikan masalah gangster berkenaan.

Latimer bersetuju dengan cadangan Rosal Azimin bahawa bahagian lain daripada jumlah berkenaan turut digunakan, antara lain, untuk perbelanjaan operasi perniagaan.

Saksi itu turut bersetuju dengan Rosal Azimin bahawa ketiga-tiga cek berkenaan tidak ada kena mengena dengan Ahmad Zahid, memandangkan saksi tidak kenal dengan tertuduh, dan tidak mempunyai apa-apa urusan dengannya.

Latimer turut bersetuju bahawa urusan membabitkan ketiga-tiga cek berkenaan tidak menyalahi undang-undang, dan bahawa Cergas Murni tidak terlibat dalam pengubahan wang haram.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dan akan bersambung pada 14 Julai.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah RM65 juta menerusi peguam dari Messrs Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

[Baca berita asal]


Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.