Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua individu rugi RM25,780 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

Seorang kerani bank dan pekerja swasta mengalami kerugian dengan jumlah keseluruhan RM25,780 selepas mereka ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud ketika masing-masing terdesak mahu membuat pinjaman wang di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita yang bekerja sebagai kerani bank berusia 30 tahun dan lelaki berusia 43 tahun itu mendakwa melihat iklan pinjaman wang sebuah syarikat berlesen di laman sosial sebelum terus menghubungi ejen secara dalam talian.

"Wanita itu mendakwa dia mahu membuat pinjaman sebanyak RM50,000 manakala seorang lagi mangsa RM10,000. Kejadian tersebut berlaku berasingan namun sindiket terbabit menggunakan modus operandi yang sama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa itu telah membuat bayaran berjumlah RM25,780 ke dalam lapan akaun bank diberikan sindiket itu untuk tujuan proses bagi mendapatkan wang pinjaman berkenaan malah ejen terbabit turut mendakwa pinjaman telah diluluskan.

Menurutnya, kerani bank dan pekerja swasta itu hanya menyedari ditipu selepas ejen-ejen tersebut terus meminta mangsa memindahkan wang ke akaun diberikan kononnya masih belum mencukupi sebelum mereka membuat semakan dengan polis dan mendapati telah ditipu.

"Mereka membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam selepas menyedari ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan sindiket serta pemilik-pemilik akaun yang digunakan untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS