Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR lantik jurucakap parlimen 'bayangan' kepada menteri PN
Diterbitkan:  Jul 3, 2020 7:13 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

PKR melantik jurucakap parlimen, yang mempunyai portofolio "bayangan" kepada menteri-menteri Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, parti itu menafikan pasukan ini adalah kabinet bayangan dan berkata PKR telah memberitahu rakan mereka dalam Pakatan Harapan mengenai perkara itu.

Tiga puluh enam daripada 38 ahli parlimen PKR mempunyai kedudukan dalam pasukan berkenaan, dengan 19 ahli parlimen sebagai jurucakap, dan 17 lagi MP menjadi timbalan.

Pengecualian ialah Presiden PKR Anwar Ibrahim yang merupakan ketua pembangkang dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengerusi majlis penasihat parti.

"Untuk memastikan dan mempertingkatkan keberkesanan ahli-ahli parlimen PKR, pejabat presiden dan whip parti melantik jurucakap parlimen (parliamentary spokespersons) PKR untuk membayangi menteri-menteri Perikatan Nasional, mengikut portfolio-portfolio yang ada," kata Ketua Setiausaha Pengelola PKR ,Nik Nazmi Nik Ahmad dalam suatu kenyataan.

"Jurucakap parlimen yang telah dipilih menonjolkan kekuatan PKR sebagai parti politik berbilang kaum yang inklusif dan berjaya dalam sejarah Malaysia," jelasnya lagi.

Dita sekiranya pasukan ahli parlimen PKR ini merupakan kabinet bayangan, Pengarah Komunikasi PKR memberitahu media ia bukan kabinet bayangan.

Ini senarai tugasan ahli parlimen PKR dan kabinet bayangan PH akan menyusul, katanya melalui pesanan WhatsApp.

Kawan tetap kawan

PKR dengan DAP dan Amanah ketika ini berselisih berhubung soal calon perdana menteri gabungan itu.

PKR menegaskan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, manakala DAP dan Amanah telah menyuarakan sokongan untuk calon alternatif seperti Dr Mahathir Mohamad, dan Shafie Apdal - dengan Anwar sebagai timbalan perdana menteri.

Ini kerana terdapat kepercayaan bahawa Mahathir diperlukan untuk mendapatkan jumlah ahli parlimen yang cukup untuk merebut kembali Putrajaya daripada PN - yang mengambil alih kuasa pada bulan Mac.

Terdapat spekulasi mengatakan beberapa pemimpin PKR sedang mempertimbangkan kemungkinan parti itu akan bergerak bersendirian sekiranya kebuntuan berkenaan tidak dapat diselesaikan.

Sementara itu, Anwar bertemu dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini, dan berkata "kawan tetap kawan." 

Beliau telah bertemu dengan presiden Amanah, Mohamad Sabu pada hari Rabu.

Lihat Komen
ADS